comscore
Tumpuan :
Nasional

Anggota bomba parah, motosikal rempuh trak pikap

Mangsa diberikan rawatan awal oleh petugas perubatan di lokasi kemalangan. –  FOTO: Ihsan BBP Cheng.

ALOR GAJAH: Seorang anggota bomba parah selepas terbabit kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Padang Kerbau berhadapan Taman Merpati Putih, Durian Tunggal, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa, Izzat Muhaimin Araham Shah, 26, yang menunggang motosikal Honda RS 150 sedang menuju ke tempat kerjanya di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng dari Taman Scientex, Durian Tunggal.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan pikap Toyota Hilux dari arah Durian Tunggal membelok ke kanan Jalan Haji Sallehudin dan dilanggar motosikal di bahagian sisi kiri.

“Akibat kemalangan, penunggang motosikal mengalami patah tangan kanan dan kecederaan dalaman dan dibawa ke Hospital Melaka dan kini dirawat di zon merah, Hospital Melaka manakala pemandu pikap berusia 43 tahun tidak cedera,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Ashari berkata pihaknya meminta orang ramai yang mengetahui kejadian untuk menghubungi balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat.

Keadaan trak pikap Toyota Hilux dan motosikal anggota bomba yang terbabit kemalangan. – FOTO: IPD Alor Gajah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kedua-dua kenderaan terbabit kini ditahan untuk dibawa menjalani pemeriksaan di Puspakom.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penguasa Kanan Bomba I, R Saiful Iswandy R Hassan berkata laporan awal daripada doktor memaklumkan mangsa mengalami pendarahan dalaman pada paru-paru dan dalam kepala selain patah pada paha.

“Dalam pertemuan dengan doktor tadi, saya dimaklumkan keadaan mangsa masih kritikal dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Beliau berkata mangsa bertugas di BBP Cheng sejak empat tahun lalu dan baharu sahaja menimang cahaya mata kedua, dua minggu lalu.

Loading...
Terkini