comscore
Tumpuan :
Nasional

Ayah masih belum tahu rumah terbakar

Abdul Fatah Idris (dua kiri) menerima sumbangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani yang meninjau lokasi kebakaran di Kampung Pangkal Gong, Machang. – FOTO: NSTP

MACHANG: “Ayah belum tahu rumah dia terbakar kerana kami adik-beradik tidak mahu menganggu emosinya yang kini sedang menunaikan haji di Makkah,” kata Abdul Fatah Idris, salah seorang daripada mangsa kebakaran lima buah rumah di Kampung Pangkal Gong di sini petang semalam.

Abdul Fatah, 50, berkata ayahnya, Idris Mamat, 83, bertolak menunaikan ibadah haji pada Ahad lalu bersama empat ahli keluarganya.

Jelasnya lagi, ahli keluarganya yang mengikut ayah mereka sudah dimaklumkan mengenai kejadian kebakarn itu.

Katanya, mereka sekeluarga berpakat tidak mahu memberitahu musibah yang berlaku kepada ayah mereka kerana enggan mengganggu ibadah hajinya selain keadaan ayahnya yang kurang sihat kerana menghidap penyakit darah tinggi.

Salwani Mat Salleh (kiri) menunjukkan rumah bapa saudaranya yang terbakar di Kampung Pangkal Gong, Machang petang semalam. – FOTO: NSTP

“Kami tidak dapat jangkakan bagaimana reaksi ayah apabila dia pulang nanti kerana rumah yang didiami selama ini musnah dan tidak ada apa yang dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, hari ini.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani Ibrahim turun padang untuk menyampaikan sumbangan kepada semua mangsa kebakaran itu.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong, Azhar Salleh.

Menceritakan kembali insiden yang berlaku, Abdul Fatah berkata dalam kejadian pada jam 6 petang semalam dia tidak berada di rumah kerana mempunyai urusan yang perlu diselesaikan di Kubang Kerian.

“Saya mengetahui kejadian ini daripada salah seorang adik yang menghubungi saya sejurus dimaklumkan kebakaran yang berlaku daripada saudara mara terdekat.”

“Saya kemudiannya bergegas pulang kerana bimbang keselamatan adik Fathi, 48, yang juga orang kurang upaya (OKU) mental berada berseorangan di rumah.”

“Sejak ayah berangkat menunaikan haji, saya yang menemani adik, namun bersyukur ketika kejadian dia sempat keluar menyelamatkan diri walaupun keseluruhan rumah terbakar menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Sementara itu, sepupunya, Salwani Mat Salleh, 36, berkata ketika kejadian berlaku dia terdengar bunyi letupan yang sangat kuat dan melihat api sudah menjulang tinggi di atas bumbung rumah bapa saudaranya (Idris).

“Dalam keadaan yang terkejut saya menjerit meminta tolong dan kakak segera menghubungi balai bomba berdekatan.”

“Kebakaran yang berlaku itu turut memusnahkan empat lagi kediaman saudara mara berikutan kedudukan rumah yang berada terlalu dekat di antara satu sama lain.”

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ketika kejadian tidak ada penghuni di rumah kerana masing-masing mempunyai urusan di luar, sementara sepupu yang berstatus OKU sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rohani berkata pihaknya menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 daripada kerajaan negeri kepada setiap mangsa bagi meringankan beban ditanggung.

“Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyampaikan RM300 kepada setiap mangsa sebagai bantuan segera akibat musibah berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini