comscore
Tumpuan :
Nasional

Cadang lafaz ikrar Rukun Negara di majlis rasmi kerajaan, IPT

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pelaksanaan lafaz penuh ikrar Rukun Negara dalam majlis rasmi kerajaan, di sekolah serta Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara.

Itu antara cadangan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Mohd Yusof merangkap Pengerusi MPPN hari ini.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan memaklumkan, MPPN turut berkongsi hasil kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas), Kerangka Perpaduan Malaysia MADANI dan cadangan pemerkasaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

“Selain itu, mesyuarat ini juga mendapatkan maklum balas daripada ahli-ahli MPPN mengenai usaha dan inisiatif baharu yang telah dilaksanakan dalam memperkasa agenda perpaduan nasional,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat yang diadakan kali pertama bagi tahun ini bagi sesi keahlian baharu dari 2023 hingga 2025 turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang selaku Timbalan Pengerusi MPPN dan 18 Ahli Majlis terdiri daripada tokoh masyarakat serta pegawai kanan KPN.

MPPN ditubuhkan sebagai usaha bagi menasihati kerajaan dalam hal ehwal perpaduan dan membincangkan isu perpaduan, usaha penyatuan nasional dari pelbagai sudut serta mencadangkan kaedah penyelesaian terbaik kepada kerajaan untuk memastikan perpaduan negara terus dipelihara agar masyarakat dapat menikmati kehidupan aman, sejahtera dan harmoni.

Tambah kenyataan itu, mesyuarat turut memfokuskan kepada pelaporan mengenai pelaksanaan program yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kementerian di bawah ‘flagship’ Kembara Perpaduan yang merangkumi tiga kluster utama iaitu Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Program Komuniti Rahmah.

“Pengerusi MPPN menyatakan bahawa sebagai rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan, masyarakat perlu berganding bahu untuk menjayakan gagasan Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

“Usaha ini akan mempercepatkan lagi proses pembinaan negara bangsa melalui teras perpaduan yang kukuh dalam mendepani pelbagai cabaran. Keutuhan perpaduan adalah kunci untuk keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, KPN berkata, melihat kepada senario semasa, Fadillah menasihatkan supaya rakyat Malaysia dapat menjauhi sifat ekstremis yang menabur fahaman perpecahan dan menyemarakkan api perkauman yang boleh mencetuskan perpecahan serta suasana tidak harmoni dalam negara.

Pada masa sama, Fadillah juga menekankan kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika majlis perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan di Kuching, Sarawak pada 21 Mei lalu.

Titah Seri Paduka agar nilai perpaduan dijadikan aset negara demi menjamin masa depan, mengurangkan jurang perbezaan antara rakyat negara ini dan rumah dijadikan asas permulaan amalan perpaduan.

“Justeru, titah Baginda mengenai tiga perkara utama ini telah meletakkan perpaduan sebagai perkara asas dan perlu diberi tumpuan khusus. Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab bersama ahli-ahli MPPN bagi memikirkan usaha-usaha yang perlu dilaksanakan sejajar dengan kerangka perpaduan baharu yang telah dibangunkan oleh KPN yang berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian bagi merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini