comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca Panas: Catuan elektrik dilaksanakan di Sabah kerana permintaan tinggi

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mula melaksanakan catuan bekalan elektrik di beberapa daerah di Sabah berikutan peningkatan permintaan tenaga akibat cuaca panas ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar, berkata tindakan itu terpaksa dilakukan bagi menangani kemungkinan ketidakcukupan tenaga disebabkan rizab tenaga yang rendah.

Katanya, kemungkinan itu boleh berlaku jika ada loji penjanaan tenaga mengalami masalah luar jangka yang menyebabkan bekalan tenaga ke rangkaian Grid Sabah terjejas.

“Keadaan cuaca panas yang melanda ketika ini secara tidak langsung meningkatkan permintaan terhadap tenaga elektrik.

“Secara puratanya, permintaan tenaga elektrik pada masa puncak bagi Sabah adalah sekitar 970 Megawatt (MW), namun pada 26 April lalu, Sabah mencatatkan permintaan tenaga elektrik paling tinggi bagi tahun ini iaitu sebanyak 1,029 MW,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, walaupun janaan tenaga di Sabah pada masa ini masih mampu menampung kadar permintaan berkenaan, gangguan bekalan boleh berlaku jika ada loji janakuasa bermasalah.

Beliau memberi contoh, baru-baru ini beberapa loji janakuasa mengalami masalah luar jangka menyebabkan ia tidak dapat menjana tenaga elektrik untuk memenuhi permintaan Grid Sabah.

“Antaranya pada 12 April lalu, sebuah stesen janakuasa bebas (IPP) berkapasiti 100 MW mengalami kerosakan luar jangka menyebabkan SESB melakukan catuan bekalan, namun dapat beroperasi semula pada 13 April setelah punca kerosakan dikenal pasti dan dibaiki.

“Catuan bekalan sekitar 40 MW hingga 60 MW sekali lagi terpaksa dilakukan pada 27 dan 28 April lalu disebabkan masalah teknikal luar jangka yang dialami beberapa stesen janakuasa milik SESB dan IPP menyebabkan hilang kapasiti janaan hampir 64MW.

Dalam hal berkaitan, Mohd Yaakob berkata, SESB juga sedang berbincang dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi membantu menangani masalah kekurangan rizab bekalan tenaga, khususnya yang membabitkan isu penambahan janaan baharu di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Difahamkan, ketika ini jumlah janaan tenaga elektrik di Sabah boleh mencapai kira-kira 1,200 MW jika semua loji janakuasa termasuk sembilan IPP beroperasi sepenuhnya.

Loading...
Terkini