comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas: Hampir 5 hektar hutan gelam di Besut terbakar

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut memadam kebakaran kira-kira 4.7 hektar hutan gelam di Kampung Padang Baluh, Besut. – Foto ihsan Bomba

BESUT: Kira-kira 4.7 hektar hutan gelam di Kampung Padang Baluh, Besut, terbakar sejak tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli, berkata mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 3 petang.

Katanya, seramai 11 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Mini Water Trailer digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketika sampai ke lokasi kami dapati kebakaran merebak hingga ke padang rumput.

“Faktor cuaca panas dan kering serta angin kencang menyebabkan api merebak lebih cepat berbanding biasa,” katanya ketika ditemui di Padang Baluh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya melakukan teknik pemisah api dan’ direct method’ bagi mengelakkan api terus merebak ke kawasan lebih luas sehingga ke lokasi penempatan penduduk.

“Anggota kita juga terpaksa berulang alik ke lokasi terdekat dengan sumber air bagi mendapatkan bekalan air.

“Kawasan kebakaran terbabit tidak mempunyai sumber air terbuka untuk disalurkan terus bagi proses pemadaman,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar kebakaran itu.

“Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim panas bagi mengelakkan kebakaran berskala besar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini