comscore
Tumpuan :
Nasional

Dakwaan kerajaan cadang tarik subsidi bahan api, PM tempelak laporan media asing




Oleh: Kumaran Rajamoney

BUTTERWORTH: Kabinet belum memuktamadkan sebarang cadangan bagi melakukan pemotongan subsidi bahan api, seperti yang telah dilaporkan sebuah akhbar media asing. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menempelak laporan yang memetik sumber itu,  sebagai sebahagian langkah serangan atas pendirian tegas kerajaan dalam isu politik.

“Saya dapati ada siri laporan dari media asing yang menyerang dari segi berita negatif sejak kebelakangan ini. Walaupun ada perbincangan awal dalam soal penarikan subsidi namun keputusan muktamad tentang tarikh pelaksanaan itu tidak ada.

“Kaedahnya perlu diterangkan. Prinsipnya supaya ianya tidak membebankan rakyat,” katanya.

Berita itu juga katanya mirip kepada laporan yang mendakwa kerajaan akan mengeluarkan lesen untuk pengoperasian kasino di Forest City, Johor sebelum ini. 

“Jadi saya lihat ia berlarutan dan saya rasa kita terima prinsip kebebasan (media) tetapi ada etika berdasarkan fakta.

“Memetik maklumat dari sumber itu perlukan yang boleh dipercayai. Perkara sebegini adalah soal dasar yang memerlukan kerajaan beri notis dan pengumuman,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan pertemuan bersama pemimpin masyarakat di Permatang Pauh, di sini hari ini.

Semalam sebuah akhbar berita asing melaporkan Malaysia bercadang melakukan pemotongan subsidi bahan api, sebagai sebahagian langkah reformasi ekonomi.

Memetik sumber industri dan kerajaan, akhbar itu mendakwa harga diesel akan diapungkan mengikut harga pasaran dalam beberapa minggu pasca Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

Ia juga mendakwa langkah itu akan disusuli peningkatan berperingkat harga runcit petrol.

Loading...
Terkini