comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Ebby Yus enggan berhutang dengan kawan

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: “Hutang dengan bank itu perkara biasa…namun hutang dengan kawan-kawan saya memang akan langsaikan”.

Demikian prinsip yang diamalkan pelawak dan pelakon Ebby Yus sejak diuji pelbagai masalah kesihatan termasuk penyakit jantung.

Katanya kepada Buletin TV3,  setakat ini dia masih mampu meneruskan kehidupan dengan baik walaupun kudratnya sudah tidak sekuat dulu.

Ditemui ketika hadir pada program Raikan Ramadan di ibu negara baru-baru ini, Ebby bersama beberapa artis lain iaitu Zaiton Sameon, Mak Jah, A. Galak dan Roy Ratnaku antara yang terpilih menerima sumbangan Hari Raya.

Berkongsi perkembangan terkini,  Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid 59, memberitahu kesihatannya bertambah baik sejak menjalani pembedahan memasang perentak jantung.

Tetap ceria seperti biasa, kata pelakon ini perentak jantung yang dipasang membolehkannya menjalani ibadah termasuk kehidupan harian dengan lebih baik.

“Sebut pasal hutang, saya teringat sewaktu usia saya 20-an…waktu mula mula menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur. Saya pernah berhutang dengan rakan serumah, saya cari dia sampai umumkan dalam aplikasi Tiktok, sehinggalah temui dia semula yang kini bekerja di salah sebuah hotel di Cherating, saya selesaikan hutang saya itu.

“Bagi saya hal hutang ini sangat-sangatlah saya jaga. Saya nak hidup tenang. Memang ketika ini masih ada hutang tapi itu pun dengan bank, iaitu kereta saya, namun dengan kawan-kawan syukur Alhamdulillah saya telah selesaikan,”katanya.

Ebby berkata Ramadan kali ini disifatkan beliau satu nikmat kerana boleh berpuasa penuh meskipun diserang gastrik.

Dia tetap melihat positif terhadap ujian kesihatan yang dialami selain berterima kasih kepada semua yang mendoakan dirinya.

“Nikmat Ramadan ini Alhamdulillah….syukur nikmatnya itu tak dapat saya luahkan, berbanding ketika saya terduduk (sakit) dulu dengan sekarang memang berbeza.

“Walaupun kudrat itu kurang namun saya boleh melakukan ibadah mengikut kemampuan saya,” katanya.

Bersyukur dikurniakan keluarga termasuk sahabat handai yang sentiasa mengambil berat, Ebby yang kini menyewa selepas rumahnya di Kuala Langat dihanyutkan banjir pada 2021 memberitahu akan berpindah menginap di sebuah kediaman di Bukit Kapar.

“Tanah di Kuala Langat itu masih ada, cuma nak buat rumah itu saya rasakan tidak sebab takut benda sama berulang.

“Kebetulan ada kawan dapatkan saya tanah murah di Bukit Kapar…itulah kini saya kumpul duit sedikit demi sedikit. Ketika ini masih sangkut sebab kekurangan modal RM40,000. Tapi tak mengapa, InsyaAllah nanti siap saya tinggal disana,”jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini