Oleh: Safwan Sawi
TAWAU: Seorang individu disyaki ejen menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam satu operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kalabakan, semalam.
Suspek lelaki ditahan oleh APMM Tawau ketika Op Sejahtera dan Op Pluto Timur di kedudukan 6.7 batu nautika barat daya Muara Tanjung Doris, jam 1.40 petang.
Pengarah APMM Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, anggota APMM mengesan sebuah bot kayu dalam keadaan mencurigakan bergerak dari perairan Sungai Serudung menuju ke Sungai Kalabakan.
“Pemeriksaan awal ke atas bot kayu yang ditahan di kedudukan 6.7 batu nautika barat daya Muara Tanjung Doris mendapati seorang lelaki bertindak selaku juragan bot telah gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan tidak memiliki lesen pendaftaran bot.
“Pemeriksaan selanjutnya ke atas telefon bimbit suspek telah mengesyaki suspek merupakan ejen penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di kawasan pedalaman berdasarkan pada maklumat perbualan yang terkandung dalam peti pesanan telefon bimbit suspek,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Sementara itu, di lokasi berasingan, katanya sebuah lagi bot penumpang tempatan turut ditahan di Jeti CIQ Tawau, kira-kira jam 3.35 petang.
“Pemeriksaan di bot berkenaan mendapati terdapat seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun bersama 200 kilogram beras putih, empat gelen minyak petrol dianggarkan sebanyak 100 liter dan dua unit tong gas LPG berisi.
“Lelaki terbabit juga gagal mengemukakan sebarang permit serta lesen yang sah berkaitan muatan dan barang kawalan yang dibawa serta melanggar Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua juragan, bot serta muatan berkenaan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.
Semua rampasan termasuk dua bot, enjin dan muatan barangan disita dengan anggaran keseluruhan rampasan berjumlah lebih RM34,000.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.