comscore
Tumpuan :
Nasional

Faisal kuat, jika Allah izin dia akan lebih baik dari sebelum ini – Bapa

Abdul Halim Saad, 60, menyifatkan anaknya seorang yang kuat menghadapi ujian yang sangat sukar pada ketika ini. Foto NSTP

BUKIT MERTAJAM: Bapa kepada pemain kebangsaan Faisal Halim menyifatkan anak lelakinya itu seorang yang ‘kebal’ dalam menghadapi ujian yang sangat sukar pada ketika ini.

Abdul Halim Saad,60 berkata, berdasarkan situasi semasa keadaan anak keempat daripada lima beradik itu sangat kuat dan sudah boleh menerima kenyataan yang sedang dilaluinya.

Katanya, mereka sekeluarga turut reda dengan kehendak yang telah ditentukan illahi dan kini menantikan kesembuhan Faisal sebelum pulang ke pangkuan keluarga.

“Alhamdulillah ketika ini dia (Faisal) boleh terima diri dia siapa (keadaannya) dan bagi saya dia kuat. Dia seorang yang kebal.

“Sekiranya, Allah izin dia (keadaan kesihatannya) akan lebih baik lagi dari sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang dianjurkan Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim di Dewan Homestay Mengkuang Titi, di sini, malam ini.

Kelab bola sepak itu ditubuhkan enam bulan lalu dengan mendapat kebenaran daripada Faisal dan juga bapanya yang juga anak jati kampung berkenaan dalam usaha melahirkan lebih banyak bakat baharu.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, dia bersyukur dan berterima kasih atas sokongan dari semua pihak yang terus mendoakan Faisal serta keluarganya.

“Saya amat- amat bersyukur dan teruja dengan sokongan ,semangat bagi kami sekeluarga lebih lagi kuat terima qada dan qadar Allah dan kami sekeluarga reda dengan apa yang dikehendaki oleh sama-sama makhluk (di muka bumi ini) , hanya tuhan (Allah) yang maha mengetahui (apa yang berlaku).

“Pada masa sama, saya berbangga dengan pasukan polis kita dan berterima kasih kerana menjalankan siasatan yang kami sekeluarga menyerahkan kepada pihak berkuasa (untuk menangkap pelaku),” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, dia akan pergi melawat Faisal dalam masa terdekat dalam memberi sokongan untuk pemulihan anaknya itu.

“Mungkin sehari dua lagi saya akan ke sana. Lagipun memang sejak hari kejadian keluarga sudah ada di sana kerana menyambut hari ulangtahun kelahiran anak Faisal.

“Ketika ini, kita (keluarga) tidak mahu kacau emosi dia, cuma dia dapat tahu bapa dia ada mai (datang) itu pun dah cukup boleh menguatkan dia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini