comscore
Tumpuan :
Nasional

Guna nombor pendaftaran palsu, elak motosikal ditarik bank

AMPANG JAYA: Helah seorang lelaki menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu untuk mengelak motosikalnya ditarik pihak bank mengundang padah apabila dia ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan di lorong motosikal berhampiran Plaza Tol Bukit Permai, Lebuhraya Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di sini, kira-kira jam 7 pagi.

“Lelaki itu ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semasa menjalankan tugas sekatan jalan raya (SJR) di lokasi terbabit.

“Semasa pemeriksaan dilakukan terhadap motosikal Yamaha Y15 ditunggang lelaki itu mendapati dia mempunyai lesen memandu yang sah.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati nombor pendaftaran belakang dipamerkan pada motosikal itu didaftarkan atas sebuah kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, hasil soal siasatan dilakukan mendapati lelaki itu menukar nombor pendaftaran kenderaan lain pada motosikalnya kerana mahu mengelak ia ditarik pihak bank.

“Ini disebabkan kegagalan lelaki berkenaan menjelaskan bayaran ansuran bulanan ditetapkan kepada pihak bank.

“Lelaki itu kemudian ditahan dan dibawa balik ke Balai Polis Trafik IPD Ampang Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurutnya, perbuatan menukar dan mempamerkan nombor pendaftaran palsu yang bukan hak milik kenderaan itu adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Oleh itu, gunakan akal fikiran untuk berfikir dengan sebaiknya daripada mengundang sebarang permasalahan dan kesusahan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini