comscore
Tumpuan :
Nasional

Hari terakhir Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara

GEORGE TOWN: Orang ramai dijemput memeriahkan hari terakhir Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini hari ini dengan acara kemuncak majlis penutupan yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih istimewa, acara penutup yang dijadual bermula jam 10 pagi diadakan serentak dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Pulau Pinang.

Berlangsung di pentas utama tapak pesta itu, Datuk Seri Anwar dijadual menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara dan melakukan tinjauan mesra di sekitar tapak program itu antaranya lawatan ke pavilion Perlis dan Kedah, reruai kementerian serta agensi kerajaan.

Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Pulau Pinang berlangsung di dewan terbuka bersebelahan pentas utama.

Selain majlis penutupan program itu, Anwar dijangka menyempurnakan acara cabutan bertuah bagi hadiah utama Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara.

Program yang berlangsung sejak Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 10 malam itu menjadi wadah masyarakat untuk mendapatkan maklumat tentang 196 perkhidmatan Kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi yang berkaitan.

Bagi yang mempunyai saman trafik, hari ini adalah peluang akhir untuk mendapatkan diskaun hingga 50 peratus di kaunter bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibuka sejak dua hari lepas.

Selain itu, lebih 1,000 unit topi keledar percuma turut menanti pengunjung pada program yang akan melabuhkan tirai hari ini selain diskaun 20 peratus barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran, ayam dan daging segar menerusi Jualan Agro MADANI.

Tidak ketinggalan, pameran aset kerajaan termasuk milik Kementerian Pertahanan seperti aset Briged Keempat Infantri Malaysia Mekanize, pameran senjata api PDRM, karnival kerjaya, perkhidmatan gunting rambut percuma, klinik pergigian dan klinik kesihatan am bergerak serta cabutan bertuah.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini