comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter terhempas: Jenazah Komander Muhammad Firdaus selamat dikebumikan

GEORGE TOWN: Lebih 1,000 jemaah menunaikan solat jenazah ke atas Pegawai Memerintah Skuadron 503 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Komander Muhammad Firdaus Ramli yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak, semalam.

Solat diadakan di Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini malam ini sebaik jenazah tiba pada kira-kira jam 7.40 malam.

Jenazah Muhammad Firdaus kemudian sekali lagi diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi TLDM sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong Besar yang terletak bersebelahan masjid berkenaan kira-kira jam 8.50 malam.

Terdahulu, isteri Allahyarham, Soffiah Sadon, 42, sambil mendukung anak tunggal mereka Muhammad Anas Muhammad Firdaus, 4, kelihatan menitiskan air mata ketika menerima dan mengucup Jalur Gemilang yang digunakan bagi menutupi keranda suaminya.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob; Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan beberapa exco kerajaan negeri.

Muhammad Firdaus, 44, yang bertugas di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, Sabah adalah antara 10 orang anggota tentera yang terkorban selepas dua helikopter TLDM bertembung di udara Pangkalan TLDM Lumut semalam.

Kejadian berlaku ketika raptai Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan di Lumut pada Sabtu ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini