comscore
Tumpuan :
Nasional

Helikopter Terhempas: RM10,000 disalur kepada waris mangsa 

KUALA LUMPUR: Bantuan awal RM10,000 akan disalurkan kerajaan kepada setiap waris 10 pegawai dan anggota yang terbabit tragedi dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bantuan itu sebagai meringankan beban ditanggung keluarga mangsa.

“Kementerian Pertahanan juga menubuhkan Tabung Khas bagi memudah orang ramai untuk turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa.

“Segala kos perjalanan terakhir yang meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini merakamkan ucapan takziah kepada waris-waris pegawai dan anggota TLDM atas tragedi itu.

“Kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan 10 wira negara yang mencurah bakti sehingga ke akhir hayat mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Khaled berkata Lembaga Siasatan yang ditubuhkan diarah untuk menyerahkan laporan awal dalam tempoh 14 hari bekerja dan laporan penuh dalam tempoh 30 hari bekerja.

Dalam kejadian 9.30 pagi semalam, dua helikopter yang menyertai raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 sempena Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut dilaporkan bertembung dan terhempas, sekali gus mengorbankan 10 anggota dan pegawai.

Proses bedah siasat ke atas 10 mangsa insiden helikopter terhempas yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak dilaporkan selesai pada jam 2.20 petang tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini