comscore
Tumpuan :
Nasional

Hujan, ribut petir diramal berterusan hingga Mei – METMalaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ribut petir dan hujan yang melanda beberapa kawasan dalam negara ketika ini dijangka berterusan sehingga Mei.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan, negara sedang mengalami fasa peralihan Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya bermula 29 Mac lalu, yang berpotensi membawa banjir di sesetengah kawasan.

“Dalam tempoh ini, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat, berserta angin kencang dalam jangka masa singkat terutama pada waktu petang dan awal malam.

“Keadaan ini akan berlaku di kebanyakan kawasan terutama pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” kata METMalaysia dalam satu kenyataan.

Perubahan monsun pada penghujung bulan lalu menyaksikan sesetengah kawasan dalam negara termasuk Negeri Sembilan, Melaka dan Lembah Klang dilaporkan banjir beberapa hari lalu.

METMalaysia berkata, dengan bermulanya fasa peralihan monsun, keadaan cuaca panas dan kering yang berlaku di kebanyakan tempat di seluruh negara dijangka beransur-ansur pulih menjelang pertengahan April.

“Fenomena El Nino boleh menyebabkan keadaan cuaca lebih kering dan biasanya berlaku dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan serta kadangkala boleh berlanjutan sehingga dua tahun.

“Peralihan daripada El Nino kepada ENSO neutral dijangka berlaku pada April hingga Jun ini dengan peningkatan kemungkinan La Nina akan terbentuk pada Jun hingga Ogos,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial METMalaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini