comscore
Tumpuan :
Nasional

Integriti penjawat awam perlu setimpal pengiktirafan kerajaan – PM 

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penjawat awam mengekalkan integriti supaya setimpal dengan pengiktirafan dan keyakinan yang diberikan kerajaan melalui pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Justeru, beliau meminta kumpulan itu untuk memantau dan mengenal pasti mana-mana kakitangan kerajaan yang merosakkan nama baik perkhidmatan awam.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mereka yang didapati malas, cuai dan tidak hadir kerja, tidak boleh menerima layanan yang sama termasuk dalam isu kenaikan gaji.

“Ada yang pertikai, kalau di sekolah, mungkin lebih 90 peratus guru menjalankan tanggungjawab, (namun) ada guru yang cuai, ada yang kadang-kadang tidak hadir, begitu juga masalah di jabatan, ada golongan kecil yang rasuah, tak datang kerja, pelbagai masalah, apakah harus kita beri layanan yang sama?

“Saya jawab tidak, kita tak akan beri layanan yang sama, jadi saya minta sementara kita berikan satu anjakan radikal dari segi memberikan pengikitrafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara untuk mengawal sendiri jabatan dan rakan-rakan supaya dikenal pasti orang yang merosakkan nama baik penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Mei, di sini hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

1 Mei lalu, ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024, Anwar mengumumkan berita gembira berhubung kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai Disember depan.

Semalam pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang, Perdana Menteri berkata, kerajaan bakal memperkenalkan kaedah yang melihat kepada prestasi kerja serta kecekapan penjawat awam bagi menentukan sama ada mereka berhak menerima kenaikan gaji.

Mengulas lanjut, menurut Datuk Seri Anwar, kerajaan mengambil keputusan berani dan radikal untuk menaikkan gaji penjawat awam biarpun situasi ekonomi negara masih belum stabil.

Jelasnya, sebagai ‘bapa’ dalam keluarga besar kerajaan, majoriti penjawat awam tidak boleh dibebankan dengan kesalahan ketirisan dan keterlanjuran yang dilakukan oleh segelintir pihak.

“Kalau ikut pertimbangan dan teori ekonomi biasa, semua kenaikan gaji itu sewajarnya ditangguhkan bila ekonomi lebih stabil, makna hutang (negara) kurang.

“Tetapi saya lihat dari segi MADANI, ihsan, tahap kecekapan, kemampanan, bagaimana boleh kita bebankan kepada penjawat awam, kesalahan yang bukan semuanya berpunca dari mereka, kadang-kadang dari segi pengurusan, kecuaian oleh pihak lain,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini