comscore
Tumpuan :
Dunia Seni

Jaafar alami serangan jantung ketika prosedur endoskopi

SERDANG: Anak angkat kepada Jaafar Onn, 73, iaitu Mohd Hanif Mohd Hashim memaklumkan arwah meninggal dunia ketika sedang menjalani prosedur endoskopi di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, pagi tadi.

Mohd Hanif berkata, doktor sudah mengingatkan bahawa prosedur berkenaan mempunyai risiko tinggi disebabkan keadaan jantung arwah dalam keadaan lemah.

“Pagi tadi papa (Jaafar Onn) melalui prosedur endoskopi dan doktor memang ada beritahu prosedur ini berisiko sebab papa ada masalah jantung lemah, tapi terpaksa buat sebab pendarahan.

“Degupan jantung arwah memang tinggi sampai 140. Masa buat endoskopi sekitar jam 10 pagi, papa mengalami serangan jantung sebelum meninggal dunia pada jam 11.32 pagi,” katanya yang ditemui di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Hanif menjelaskan, arwah pergi ke klinik disebabkan mengalami tekanan darah rendah dan pendarahan tanpa henti semasa membuang air besar.

Katanya, doktor turut memaklumkan kemungkinan pendarahan berlaku berpunca pengambilan ubat tahan sakit yang diambil dalam jangka masa panjang.

“Papa mengalami tekanan darah rendah, kelmarin. Pada masa sama, Papa juga membuang air besar berdarah. Pendarahan terlampau banyak dan tak berhenti.

“Buang air besar berdarah pula kemungkinan disebabkan ada ‘ulser’ dalam perut. Sepatutnya ada rawatan susulan pada Februari lalu, tapi arwah tak dapat pergi sebab ada urusan lain.

“Pendarahan berlaku mungkin disebabkan pengambilan ubat tahan sakit yang diambil papa. Ikutkan memang sudah lama papa ambil ubat tahan sakit, sebelum saya jaga arwah lagi.

“Ubat tahan sakit dimakan sebab sakit lutut. Ramadan tahun lalu arwah dapat tahu ada masalah jantung.

“Masalah jantung juga menyebabkan kakinya bengkak,” katanya.

Jenazah Allahyarham Jaafar diuruskan terlebih dahulu di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarganya untuk disemadikan di Tanjung Ganding, Muar, Johor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini