comscore
Tumpuan :
Nasional

 Jenazah Ahmad Rejal Arbee selamat dikebumikan

FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Jenazah Tokoh Wartawan Negara 2014, Allahyarham Datuk Ahmad Rejal Arbee Mahmud Isa Arbee yang meninggal dunia awal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 dekat sini pada jam 11.20 pagi tadi.

Terdahulu jenazah bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), dibawa ke Masjid Seksyen 7 di sini pada jam 9.30 pagi untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan sekitar jam 10.30 pagi.

FOTO: NSTP

Antara yang hadir menziarah Allahyarham di masjid berkenaan adalah Pengarang Urusan Kumpulan NSTP yang juga Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk Abdul Kadir Jasin; Tokoh Wartawan Negara 2019, Tan Sri Johan Jaafar serta Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thillinadan.

Turut menziarahi ialah Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian TV Media Prima Berhad, Kamarudin Mape dan bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj,

FOTO: NSTP

Anak bongsu Allahyarham, Awaina Arbee, 32 berkata ayahnya meninggal dunia disebabkan keuzuran dan dimasukkan ke hospital sejak minggu lalu dan disyaki menghidap pneumonia.

Katanya, kesihatan Allahyarham mula merosot pada akhir tahun 2022 yang mana beliau memerlukan bantuan untuk berjalan, makan dan lain-lain.

“Sebelum tu dia memang seorang yang sihat, tiada sebarang penyakit kerana amat menjaga pemakanannya dan selalu ke masjid atau surau untuk berjemaah,” katanya.

Awaina Arbee berkata, ayahnya mungkin dilihat sebagai seorang yang tegas di tempat kerja tetapi apabila di rumah, Allahyarham adalah seorang bapa yang penyayang serta suka bergurau dengannya.

“Dia sangat ‘cheeky’. Selalu bergurau dan manjakan saya..itulah antara kenangan bersamanya yang saya akan kenang,” katanya.

Terdahulu, berita pemergian Allahyarham Datuk Ahmad Rejal dikongsikan isterinya, Datin Noraini Shariff menerusi hantaran di Facebook.

Datuk Ahmad Rejal Arbee, 83, yang meninggal di Hospital Shah Alam, juga bekas Ketua Pengarang BERNAMA.

Allahyarham juga antara pengamal media terawal yang meneroka konsep media dwibahasa dan antara kakitangan pengasas BERNAMA.

Beliau pernah menjawat jawatan Ketua Meja Politik dan Parlimen, kemudian dilantik Timbalan Pengarang dan Ketua Bahagian Ekonomi sebelum meninggalkan agensi berita itu untuk menyertai News Straits Times (NST) pada 1976.

Bagaimanapun, Datuk Ahmad Rejal Arbee kembali menyertai BERNAMA sebagai Ketua Pengarang pada 1981 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1989.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada Januari 1984 hingga April 1989 dan menjawat jawatan Pengarang Kumpulan BH bermula 1998 hingga 2003.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini