comscore
Tumpuan :
Nasional

Johor kutuk insiden serangan terhadap 3 pemain bola sepak – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengutuk sekeras-kerasnya dan memandang serius terhadap insiden yang menimpa tiga pemain bola sepak negara, baru-baru ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata beliau tidak akan berkompromi, terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu yang boleh menggugat keharmonian dan keselamatan di negeri ini.

Pada masa sama, beliau berharap agar penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berputus asa dan tetap menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, serta mengekalkan profesionalisme dalam memberikan sokongan penuh kepada pasukan bagi setiap perlawanan.

“(Bagaimanapun) sebagai penyokong JDT, saya berasa terkilan dengan keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih, yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat ini, meskipun sudah mendapat jaminan daripada Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Johor.

“(Bahkan) Polis Johor juga telah bersetuju untuk mengarahkan 1,500 anggota polis untuk memantau aspek keselamatan pada perlawanan itu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Justeru, Onn Hafiz menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pasukan JDT atas kesediaan, komitmen dan profesionalisme yang ditunjukkan untuk tetap meneruskan perlawanan yang dijadualkan, kerana yakin dengan jaminan yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia bahawa keselamatan pasukan, pemain dan penyokong merupakan keutamaan.

Pada 2 Mei, pemain bola sepak kebangsaan Akhyar Rashid dilaporkan cedera selepas menjadi mangsa samun dalam kejadian di Terengganu.

Pada Ahad (5 Mei), Faisal Halim pula mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali, menyebabkan kecederaan pada badannya.

Manakala, pada Selasa malam (7 Mei), cermin kereta pemain tengah pasukan bola sepak JDT Safiq Rahim dipecahkan individu tidak dikenali berhampiran Pusat Latihan JDT, Jalan Sri Gelam, di sini.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini