comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak disyaki dibuli, kaunselor KPWKM sudah ambil tindakan segera

KUCHING: Kaunselor Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sudah menangani kes seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang dipercayai menjadi mangsa buli anak jiran di Hulu Langat, Selangor.

Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ia tindakan awal yang diambil pihaknya sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu.

Justeru, beliau menafikan dakwaan di media sosial bahawa pihaknya tidak respon terhadap kes yang tular itu.

“Apabila mengetahui satu-satu kes pegawai dan kaunselor kami yang terlatih akan segera menanganinya.

“Dalam kes itu, semuanya sudah kami tangani, tetapi ada yang mendakwa kami tidak respon, itu silap sebab kami sudah bertindak segera sebaik mengetahuinya dan sekarang kes itu dalam siasatan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Mesra KPWKM Bersama Kumpulan Sasar di sini, hari ini.

Seramai 3,500 kumpulan sasar terdiri daripada penghuni rumah kanak-kanak, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) diraikan pada majlis berkenaan.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, pihaknya juga masih menunggu hasil siasatan polis mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2002 untuk memastikan kemungkinan ada unsur pengabaian dalam kes berkenaan.

“Selepas hasil siasatan polis diperoleh (jika berlaku pengabaian) kita akan mengambil langkah seterusnya termasuk mendapatkan perintah mahkamah,” katanya.

Semalam polis mengesahkan menerima laporan kejadian kanak-kanak berusia lapan tahun, dipercayai menjadi mangsa buli anak jiran di Hulu Langat, di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohamad Nasir Drahman, berkata pihaknya menerima laporan itu daripada pengasuh mangsa pada 11 April lalu.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa didapati mengalami kecederaan di kaki dan polis mengenal pasti empat hingga lima suspek berusia antara enam dan lapan tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini