comscore
Tumpuan :
Nasional

Kastam beli 20 anjing pengesan dadah, bantu banteras kegiatan seludup

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad (dua dari kiri) menunjukkan dadah seberat 70 kilogram yang bernilai lebih RM2.4 juta pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM. – FOTO: NSTP

NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedang dalam proses perolehan untuk menambah 20 anjing pengesan dadah bagi membanteras kegiatan penyeludupan bahan terlarang itu di pintu masuk negara.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Sazali Mohamad berkata, kesemua anjing yang diimport dari luar negara dengan kos RM1.9 juta itu dijangka diperoleh Jun depan.

“Antara langkah sedang dibuat JKDM untuk menangani akitiviti penyeludupan dadah, kami dalam proses mendapatkan tambahan anjing pengesan dadah yang dijangka sampai dalam bulan Jun.

“Anjing ini sedang dilihat dari beberapa negara seperti India dan Australia dengan kos keseluruhan RM1.9 juta. Antara baka yang bakal diperoleh adalah Labrador dan German Shepherd,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selari dengan perubahan teknologi, dadah kini boleh dibeli oleh individu secara atas talian di luar negara dan dihantar melalui bungkusan syarikat kurier.

Justeru beliau berkata, JKDM kini sedang melihat dan mengkaji mesin pengimbas di Korea Selatan yang mempunyai keupayaan teknologi kecerdasan buatan (Ai).

Tambah Sazali, dalam menangani bungkusan yang mengandungi dadah di pintu masuk negara juga, pihaknya sedang proses perolehan untuk mendapatkan tiga mesin pengimbas ‘backscatter’.

“Mesin ini sangat efektif dalam mengesan dadah dalam bungkusan. Ia boleh dialihkan dan dibawa ke mana-mana dan bukannya dipasang di sesuatu tempat sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai modus operandi menggunakan parcel atau bungkusan, beliau berkata, 73 peratus daripada kes penyeludupan dadah bagi suku pertama tahun ini menggunakan taktik itu.

“Bagi tempoh Januari hingga Mac, JKDM berjaya memperoleh 139 kes narkotik membabitkan nilai RM29.556 juta. Perkhidmatan kurier menyumbang sebanyak 73 peratus daripada kes yang berjaya diperoleh,” katanya.

Pada sidang media itu juga Sazali memaklumkan kejayaan JKDM menumpaskan tiga kes penyeludupan dadah menggunakan kurier dengan nilai rampasan mencecah RM2.5 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini