comscore
Tumpuan :
Nasional

Kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan media masih baik – Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.-Foto: NSTP

GEORGETOWN: Kedudukan terkini Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media masih dianggap baik berbanding pemerintahan kerajaan sebelum ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, walaupun Malaysia berada pada tangga ke-107 berdasarkan Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang disiarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) semalam, kedudukan itu tidak begitu teruk.

“Ini berdasarkan rekod yang dicapai sebelum ini Malaysia berada di kedudukan lebih bawah iaitu ke-144 pada 2017, 145 (2018), 123 (2019), 119 (2021) dan 113 (2022).

“Kalau kita teliti secara purata sejak 2017 angka atau kedudukan yang kita capai, laporan terkini ini masih dianggap baik, jadi kalau kita berada di tangga 107 itu bagi saya adalah satu pencapaian.

“(Meskipun) masih bagi saya tidak memuaskan, tetapi masih dikira tidak terlalu teruk,” katanya ketika ditemui selepas melawat reruai Kementerian Komunikasi pada Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, hari ini.

Semalam, media melaporkan Malaysia berada di kedudukan ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan oleh RSF berbanding tangga ke-73 tahun lalu.

Bagi negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua dipintas oleh Thailand yang berada pada tangga ke-87 diikuti Indonesia (111), Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).

Fahmi berkata, kedudukan itu masih dilihat lebih baik berbanding zaman pemerintahan sebelum ini selepas peralihan kerajaan dan pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan terdapat beberapa pihak sengaja memain-mainkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum sehingga ada beberapa laman web diambil tindakan.

“Pihak (MCMC) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memaklumkan bahawa mereka menyebarkan sama ada berita palsu ataupun bermain isu 3R, jadi kerajaan tidak akan berkompromi dengan penyalahgunaan ini,” katanya.

Fahmi memaklumkan, berikutan itu pihaknya bersetuju mengadakan siri pertemuan bersama RSF bertujuan berbincang dan meneliti cara lebih baik untuk menangani berita palsu termasuk penyebaran maklumat tidak benar.

“Saya menjadi Menteri Komunikasi pertama akan bertemu dengan pihak RSF dan mereka memberi komitmen, Insya-Allah dalam masa yang tak terlalu lama kita akan adakan pertemuan susulan.

“Macam saya sebut semalam, saya terima laporan ini dengan hati terbuka. Banyak yang perlu kita teliti, tidak semua cocok dengan nilai ketimuran atau adab yang kita amalkan di Malaysia.

“Jadi kita ambil mana yang baik kita teliti kita laksanakan penambahbaikan yang kita ingin saksikan di Malaysia,” katanya.

Fahmi ketika mengulas perbandingan dengan negara yang mencapai keputusan lebih baik seperti Sweden, berkata realiti yang berlaku di negara itu jauh berbeza dengan Malaysia misalnya ada sejumlah Ahli Parlimen di negara itu mempunyai pendirian keras terhadap Islam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini