comscore
Tumpuan :
Nasional

Kementerian Kesihatan sedia dedah AEFI akibat vaksin COVID-19

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memberi jaminan akan mendedahkan semua data berkaitan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya memiliki rekod daftar membabitkan semua jenis vaksin COVID-19 yang diambil rakyat negara ini.

“Kita ada simpan (rekod) daftar mengenai AEFI, memang kita simpan satu daftar dan memang ada, bahkan semua yang dalam data, termasuk yang meninggal (dunia), kita ada simpan.

“Saya sebagai menteri pernah sebut pada mesyuarat Jemaah Menteri, saya mahukan suatu masa nanti, data ini didedahkan kepada umum kerana ini tanggungjawab saya dan tanggungjawab kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Pra Pelancaran Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (MIH) Megatrends di sini, hari ini.

Beliau menjawab sama ada Malaysia merekodkan kes trombosis dengan sindrom ‘thrombocytopenia’ yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19 AstraZeneca.

Suruhanjaya Nasional untuk Kajian dan Pencegahan Peristiwa Mudarat Berikutan Imunisasi bersama-sama Kementerian Kesihatan dan Agensi Makanan dan Ubat-Ubatan (BPOM) Indonesia sebelum ini mengesahkan tiada laporan diterima mengenai kes trombosis yang dikaitkan dengan vaksin terbabit.

Manakala di Malaysia, Kementerian Kesihatan dilaporkan sudah meminta penjelasan daripada firma Farmaseutikal AstraZeneca berhubung perkara terbabit.

Tanpa menetapkan jangka masa data itu didedahkan, Dzulkefly menegaskan, pihaknya tidak akan menyembunyikan apa-apa berkaitan AEFI kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

“Jadi saya nak sebut data itu kita ada, kesan sampingan itu kita akan dedahkan bersekali, kita bertanggungjawab mengenai semua ini.

“Kita akan dedahkan pada waktu yang mustahak atau selesa untuk kita terbitkan, kita tidak akan menyembunyikan apa-apa, kita bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah menerima penjelasan daripada firma Farmaseutikal AstraZeneca, Dzulkefly berkata, pihaknya masih menunggu penjelasan rasmi serta terperinci daripada farmaseutikal berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini