comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Lembah Maksina: Enam dikhuatiri lemas, dua cedera, sembilan terselamat

Pasukan penyelamat BBP Lahad Datu membantu memindahkan mangsa tragedi kepala air Lembah Maksina yang terselamat.- Foto: JBPM

Oleh: Safwan Sawi

LAHAD DATU: Enam orang dikhuatiri lemas, dua cedera manakala sembilan lagi terselamat dalam kejadian kepala air di Lembah Maksina, Makuau, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.28 minit malam, melalui sistem 999 melibatkan sekumpulan pendaki yang terperangkap di Sungai Maksina.

“Awal pagi tadi pasukan kita telah mulakan operasi turun ke lokasi pada jam 6.00 pagi untuk membuat persiapan bagi tujuan meneruskan operasi mencari dan menyelamat  6 orang lagi daripada 17 peserta yang terlibat dalam aktiviti river trekking di Lembah Maksina.

Ketua BBP Lahad Datu, Sumsoa Rashid

“Operasi semalam telah berjaya mengeluarkan 9 orang dalam keadaan selamat tepat jam 12 tengah malam, walaupun 2 orang mengalami kecederaan ringan.” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Bagi operasi pagi ini, pihaknya telah menghantar pasukan bomba daripada BBP Lahad Datu seramai enam orang dan dibantu dua pegawai sukarela daripada Anjung Teduh Felda Sahabat.

Turut terlibat, agensi lain antaranya polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pegawai daripada Sabah Forest.

“Maklumat yang kita dapat semalam, keadaan sungai di sana memang agak mencabar, lokasi tempat mangsa ditemui memerlukan masa 30,hingga 40 minit perjalanan dengan meredah sungai.

“Kita mengharapkan operasi hari ini dapat tamatkan secepat mungkin, yang mana kita harap dapat menemui 6 baki mangsa, walaupun kita tidak tahu lagi status mereka.” katanya.

Semalam seramai 11 orang anggota pasukan bomba termasuk ketua balai. bergegas menuju ke lokasi yang terletak sejauh 56 kilometer.

Operasi menyelamat ditangguhkan pada jam 1.40 pagi tadi akibat cuaca gelap dan atas faktor keselamatan.

Semalam maklumat awal bomba mendapati sekumpulan 17 orang telah melakukan aktiviti river trekking sebelum terjadi banjir dan kepala air yang menyebabkan mereka terperangkap.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini