comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan bakal memperkenalkan kaedah melihat prestasi kerja serta kecekapan penjawat awam 

Perdana Menteri bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tapak Pesta Sungai Nibong, hari ini.

GEORGE TOWN: Kerajaan bakal memperkenalkan kaedah yang melihat kepada prestasi kerja serta kecekapan penjawat awam bagi menentukan sama ada mereka berhak menerima kenaikan gaji.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan menjelaskan, langkah itu bagi memastikan kenaikan gaji tidak berlaku secara automatik sepenuhnya, berikutan pelaksanaan kenaikan gaji yang lazim mengikut tahun perkhidmatan ada ketikanya turut membabitkan penjawat awam bermasalah.

“Berhubung pengumuman kenaikan gaji, ada pembangkang yang mempertikaikan. Itu tidak usah kita kira kerana pemilihan (kenaikan gaji) itu adalah berdasarkan prestasi.

“Sekarang umpamanya mengikut tahun (perkhidmatan), kadang-kadang orang itu lembap bekerja, tidak hadir, ada masalah disiplin (tetapi) terus dinaikkan gaji secara automatik. Kita hendak mengingatkan ia (kenaikan gaji) tidak automatik (sepenuhnya).

“Mungkin automatik untuk 95 peratus, bagi lima peratus yang dirasakan lembap dan ada masalah itu, kita akan memperkenalkan kaedah supaya mereka dinafikan (kenaikan gaji),” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tapak Pesta Sungai Nibong, di sini, hari ini.

Rabu lalu, Perdana Menteri mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai Disember depan.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar menekankan bahawa kenaikan gaji itu harus dinikmati secara adil, justeru kaedah atau mekanisme yang sesuai harus dipertimbangkan bagi mencapai hasrat berkenaan.

“Tidak adil jika orang yang bekerja tungkus lumus mendapat kenaikan (gaji), orang yang malas lembap pun mendapat kenaikan secara automatik… jadi harus diberikan pertimbangan itu,” katanya.

Semalam, media melaporkan Anwar memberi jaminan bahawa kenaikan gaji penjawat awam yang dijangka membabitkan kos lebih RM10 bilion, mampu dilaksanakan menerusi kawalan pengurusan kewangan kerajaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini