comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan komited noktah kemiskinan tegar di Kedah dalam tempoh dua bulan- PM

Oleh: Kumaran Rajamoney

JITRA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan komitmen kerajaan Persekutuan dalam menoktahkan kemiskinan tegar di negeri Kedah, dalam tempoh dua bulan.

Langkah itu katanya dapat dicapai kerana data menunjukkan senarai dalam kategori itu hanya sekitar 2,500 keluarga ketika ini.

“Kita mahu pastikan matlamat kita untuk mereka cukup makanan dan pakaian itu sekurang-kurangnya dapat dilaksanakan sebaiknya.

“Hasil kerjasama dengan kerajaan negeri Kedah data ini akan diperincikan bersama agensi persekutuan untuk menyegerakan usaha ini,” katanya.

Selain isu kemiskinan tegar, kerajaan juga katanya akan terus menumpukan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW), serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Paling utama, kita juga akan memperkasakan pembangunan industri padi yang menjadi sekuriti makanan negara. Sebelum ini kerajaan telah meluluskan RM3 billion untuk infrastruktur kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Saya dimaklumkan jumlah kos pembangunan ini boleh meningkat sehingga RM5 billion. Bukan satu jumlah yang kecil, namun soal sekuriti makanan adalah sangat penting, dan itu pun kita akan pertimbangan,” katanya.

Perdana Menteri juga menjelaskan kerajaan Persekutuan sentiasa terbuka untuk menyalurkan bantuan kepada kerajaan negeri, jika dimohon dengan cara yang baik.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis sambutan Aidilfitri Madani Tahun 2024 Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini