comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM tempatkan doktor pakar pertingkat kemudahan kesihatan di Hospital Kuala Kubu Bharu 

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA KUBU BHARU: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah meningkatkan perkhidmatan kemudahan kesihatan di Hospital Kuala Kubu Bharu dengan menempatkan beberapa doktor pakar bagi merawat pesakit di kawasan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata KKM telah menghantar doktor-doktor pakar daripada Hospital Selayang dan sekitarnya dalam pelbagai bidang dalam tempoh sebulan sekali atau sebulan dua kali ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

“Kita ada pakar komuniti yang menetap di Kuala Kubu Bharu dan doktor pakar ini bukannya datang melalui sesi-sesi lawatan mereka”

“Jadi yang penting untuk kita tahu adalah yang diminta oleh rakyat itu sebenarnya bukan hospital sahaja. Sebenarnya yang mereka minta adalah peningkatan perkhidmatan kesihatan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan Lawatan Saringan Kesihatan di Dewan Orang Ramai Orang Asli Kampung Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Justeru, beliau menegaskan KKM telah meletakkan seorang pakar yang merupakan pakar perubatan dalaman sejak Januari lalu dan seorang lagi pakar kecemasan ditempatkan di hospital sama pada bulan ini.

“KKM akan terus membuat penambahbaikan di Hospital Kuala Kubu Bharu dan itu bukan merupakan usaha bermusim.

“Ini adalah perancangan bukan sehari dua tetapi ia telah dilakukan sebelum itu lagi dan penambahan blok di Hospital Kuala Kubu Bharu itu sememangnya berada dalam perancangan Kementerian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini