KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menafikan jalan raya di negara ini tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengakui ada menerima laporan pihak yang dilantik membaiki jalan tidak mengikut piawaian.
“Memang ada aduan begitu yang kita terima, cuma setahu saya semua kerja baik pulih itu dilakukan mengikut piawaian dan kualiti sepatutnya.
“Kita tidak ada kesan pihak yang tidak mengikut piawaian seperti didakwa, kerana apabila kita siasat, ia tidak begitu (tidak mengikut piawaian).
“Namun, jika kita dapati perkara itu benar berlaku, kita akan ambil tindakan terhadap pihak berkenaan,” katanya kepada media selepas melakukan operasi di tapak pembinaan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan beberapa agensi lain, hari ini.
Nanta berkata demikian ketika ditanya mengenai jalan yang sudah diturap namun kembali berlubang dalam tempoh masa singkat.
Dalam perkembangan berkaitan, Nanta memaklumkan pihaknya turut menerima aduan mengenai simen turap jalan yang dibiarkan selepas kerja baik pulih jalan.
“Ada yang kata simen untuk menutup lubang dibiarkan begitu saja, tetapi sebenarnya simen itu memerlukan dua atau tiga hari untuk proses ‘curing’ atau pengerasan.
“Mungkin orang awam tidak faham dan kata kita hanya letakkan simen dan biarkan ia begitu sahaja. Bukannya kita tidak peduli, tetapi proses ‘curing’ itu perlu bagi mengukuhkan simen berkenaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.