comscore
Tumpuan :
Nasional

Konflik Israel-Iran: Kerajaan sedia bawa pulang rakyat Malaysia yang terkesan 

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

KAJANG: Kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas petang ini bagi membincangkan perkembangan terkini susulan serangan terbaharu yang dilancarkan Israel terhadap Iran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan akan diadakan bersama Kementerian Luar termasuk memperincikan langkah dan keperluan kerajaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkesan di negara itu.

“Itu kita tadi kita adakan mesyuarat. Petang ini kita bincang sekali lagi dengan Kementerian Luar tengok keadaan kalau keadaan mencemaskan bagi rakyat kita akan bawa balik”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang sebentar tadi.

Beliau sebelum itu sempat meluangkan masa makan tengah hari bersama penduduk setempat di Gerai Kak Ngah Billion Bandar Teknologi Kajang.

Tegas Datuk Seri Anwar, Malaysia memandang serius perkara itu dan mengulangi pendirian mengutuk tindakan kejam tentera Zionis yang melancarkan serangan di bangunan tambahan Konsulat Iran di Damsyik 1 April lalu.

Ia termasuk tindakan terbaharu Israel yang melancarkan misil di bandar Isfahan, semalam.

“Kita pendirian kita pertamanya mesti mengutuk serangan terhadap kedutaan yang kedua kita mahu perdamaian yang terkesan ini rakyat bukan sahaja di Timur Tengah, dunia Arab di Iran malah di seluruh dunia kerana ini akan menyebabkan melambung harga minyak, pengedaran pengangkutan yang meningkat tinggi, tidak boleh guna Suez kena guna jalur lain dengan kos yang lebih tinggi”.

“Sebab itu kita menggesa supaya dijamin keamanan hentikan secara agresif keganasan Israel yang terus berlaku kerana keengganan kuasa besar barat mengambil tindakan mengawal tindakan zalim yang ganas yang agresif perlu dilakukan oleh Israel”, katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini