comscore
Tumpuan :
Nasional

KPDN Melaka tumpas sindiket seludup diesel, tiga suspek ditahan

Norena menunjukkan paras minyak diesel dalam skid tank yang disita KPDN. – FOTO: NSTP

MELAKA: Hasil pemeriksaan dan pemantauan intensif anggota risikan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka berjaya mematahkan cubaan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi untuk menyeludup 27,000 liter dari sebuah stor haram di Kawasan Perindustrian Krubong, malam tadi.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata menerusi serbuan itu KPDN turut memberkas tiga lelaki iaitu pemandu lori tangki warga tempatan dan dua pekerja stor warga Bangladesh berusia lingkungan 30 hingga 35 tahun.

“Ketika serbuan kita dapati kerja-kerja pemindahan diesel dari tiga ‘skid tank’ ke lori tangki sudah selesai.

“Ketiga-tiga suspek sangat terkejut dan tak sangka kehadiran anggota risikan kita yang mengepung dan berjaya menghalang lori tangki itu keluar daripada stor.

“Ini kerana gudang itu dilengkapi empat CCTV (sistem kamera litar tertutup), tiga menghadap ke luar dan satu di dalam,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan.

Norena berkata, keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM256,000 termasuk diesel bernilai lebih RM75,000, lori tangki, peralatan hos dan salur minyak serta tiga tangki skid berisi 8,000 liter diesel yang disyaki cuba dibawa ke sebuah negeri di Pantai Timur.

Ditanya modus operandi (MO) sindiket, Norena berkata, risikan mendapati mereka menggunakan lori ‘bonded’ atau tertutup yang membawa tangki diubahsuai untuk membeli diesel bersubsidi di stesen minyak di negeri ini sebelum memindahkannya ke tangki skid di stor berkenaan.

“Sindiket ini sangat aktif dan tidak statik, jika kita serbu di sini, mereka akan pindah ke tempat lain di kawasan industri juga kerana mudah untuk bergerak,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini