comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kumpulan pertama 282 jemaah haji berlepas ke tanah suci tengah malam ini

SEPANG: Kumpulan pertama yang terdiri daripada 282 jemaah haji Malaysia bakal berlepas ke Tanah Suci pada tengah malam ini dengan penerbangan Malaysia Airlines.

Penerbangan Malaysia Airlines MH8050 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ke Madinah itu akan berlepas pada 12.05 tengah malam dan dijangka tiba di Lapangan Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada 3.50 pagi esok waktu tempatan.

Menteri Agama, Datuk Mohd Na’im Mokhtar berbual bersama jemaah haji ketika hadir mengucapkan selamat jalan kepada para jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto NSTP

Majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji dari Kelantan dan Kedah itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain, yang turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman dan Pengarah Eksekutif Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud (kanan) beramah mesra dengan sebahagian jemaah haji selepas merasmikan Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji ke Tanah Suci di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, hari ini. Foto NSTP

Mohd Na’im dalam kenyataan sempena majlis pelepasan jemaah haji itu mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri selain mengikuti nasihat pihak TH supaya semua amalan haji dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Saya mewakili pihak kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar perjalanan bakal haji dipermudahkan Allah SWT dan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna,” katanya.

Sementara itu, Syed Hamadah dalam kenyataan sama berkata pada tahun ini, sebanyak 100 penerbangan sewa khas haji menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan untuk membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci.

“TH telah membuat perancangan dan persiapan rapi sejak tamatnya operasi haji tahun lepas lagi sebagai usaha memastikan kelancaran urusan jemaah Malaysia ketika menunaikan ibadat haji tahun ini,” katanya.

Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula 9 Mei, manakala penerbangan terakhir pada 9 Jun ini.

Tahun ini, hari Wukuf jatuh pada 9 Zulhijjah yang dijangka pada Sabtu, 15 Jun.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini