comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 2,000 kandungan boleh cetus keganasan diturunkan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

CYBERJAYA: Sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R iaitu agama (Religion), raja (Royalty) dan kaum (Race) telah diturunkan di media sosial dan platform penstriman atau ‘Over The Top’ (OTT) sejak Januari tahun lalu hingga kini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kandungan tersebut berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi.

Selain itu, bagi tempoh 13 Mac hingga kini, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R juga telah diturunkan.

“Berdasarkan statistik MCMC, terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial dan platform OTT.

“Sebanyak 35,490 kandungan telah diturunkan pada 2023, manakala bagi dua bulan pertama tahun ini sahaja, 27,115 kandungan diturunkan,” menurut kenyataan itu.

Jelas MCMC, kandungan memudaratkan termasuk ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu yang mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial serta institusi di negara ini.

Sementara itu, MCMC bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan menjejaki pemilik akaun yang terlibat dan membawa mereka ke muka pengadilan, susulan insiden melibatkan stoking yang tertera kalimah Allah.

Suruhanjaya berkenaan turut mengingatkan semua pihak untuk menghentikan hantaran provokasi dan elak daripada menulis komen yang bersifat provokatif dan 3R di media sosial.

“MCMC tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang melampau di media sosial,” menurut kenyataan itu.

Sebarang perkongsian kandungan bersifat jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan
Multimedia (AKM) 1998.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini