comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lelaki OKU maut dirompak, mulut disumbat kain, tangan dan kaki diikat

 

Oleh: Selwam Arjunan

PERMATANG PAUH: Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) berusia 40 tahun ditemukan maut dipercayai mangsa bunuh dalam rompakan di sebuah rumah di Guar Perahu, di sini, dalam kejadian pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Helmi Aris berkata tangan dan kakinya didapati diikat, manakala mulutnya disumbat dengan kain menggunakan pita pelekat.

Polis juga telah menahan seorang lelaki tempatan untuk membantu siasatan.

Katanya, Balai Polis Kubang Semang telah menerima maklumat daripada lelaki pemilik rumah berusia 80-an memaklumkan rumahnya berada dalam keadaan berselerak, manakala isteri dan anaknya diikat tangan, kaki serta mulut.

“Pada jam lebih kurang 6.30 pagi, pengadu yang tidur di bilik berasingan bangun daripada tidur dan ke bilik isterinya berumur 70-an, mendapati tangan dan kaki isterinya diikat mengunakan ‘cable tight’, manakala mulut disumbat dengan kain beserta pita pelekat hitam dalam keadaan cedera luka di jari kanan.

“Pengadu kemudian membuat pemeriksaan di bilik anaknya yang berumur 40-an juga didapati tangan dan kaki diikat dan mulut disumbat dengan kain menggunakan pita pelekat, berada di atas lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa (lelaki) telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Bukit Mertajam di tempat kejadian dan dihantar ke Unit Forensik Hospital seberang Jaya untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, siasatan lanjut polis mendapati dua suspek lelaki bersenjatakan parang telah masuk ke dalam rumah mangsa, bertindak mengikat isteri dan anak pengadu.

Mereka seterusnya menggeledah bilik mangsa dan mengambil wang tunai serta sebuah televisyen sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan yang belum dapat dikenalpasti.

Susulan itu, polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 40-an bagi membantu siasatan.

Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 5 kes jenayah dan 5 kes dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang awam mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diseru tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Assan Alimudin di talian 012-4418081 atau menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini