comscore
Tumpuan :
Nasional

Lokasi penyu bertelur tarik pelancong luar negara

Pelancong dari Jepun, Ochiai Shoichiro, 83, melihat dari dekat telur penyu jenis karah yang dijumpai Renjer Penyu, Hishamudin Abd Manap di Pantai Tanjung Gemok, Port Dickson.-Foto: NSTP

PORT DICKSON: Seorang pelancong dari Jepun sanggup datang bercuti dan bermalam selama dua minggu di sebuah hotel di di sini semata-mata kerana mahu menyaksikan penyu bertelur.

Menurut Ochiai Shoichiro, 83, dia datang bercuti ke Port Dickson selepas mendapat tahu lokasi berhampiran Hotel Glory Beach Resort adalah tempat penyu kerap naik dan bertelur.

Pelancong dari Jepun, Ochiai Shoichiro (kiri sekali) bersama Renjer Penyu, Hishamudin Abd Manap (dua dari kiri), Pengarah Urusan Glory Beach Resort, Paul Yeong dan Penolong Pengurus Besar Glory Beach Resort, John Yeong di Pantai Tanjung Gemok, Port Dickson.- Foto NSTP

“Saya sangat teruja dengan penyu dan sanggup datang ke Malaysia (Port Dickson) selepas dimaklumkan rakan bahawa kawasan sekitar hotel ini adalah lokasi penyu bertelur.”

“Boleh dikatakan saya kerap mandi laut dan berjalan di sekitar pantai di Pantai Tanjung Gemok namun tidak berjumpa penyu bertelur tetapi akhirnya hari ini saya dapat melihat sendiri bagaimana rupanya telur penyu,” katanya ketika ditemui di Pantai Tanjung Gemok, lokasi penemuan telur penyu.

Semua telur penyu itu dijumpai kakitangan Hotel Glory Beach awal pagi tadi.

Menurut Ochiai, dia masih berharap dapat melihat bagaimana penyu bertelur.

 

“Sejak remaja saya sudah teruja dengan penyu tetapi baharu sekarang dapat melihat sendiri bagaimana rupanya telur penyu selepas lebih 60 tahun saya menyimpan hasrat mahu melihat telur penyu,” katanya.

Dalam pada itu, sekumpulan pelancong dari negara China dan Jepun yang turut menyaksikan penemuan itu meluahkan rasa teruja dapat melihat secara dekat situasi berkenaan.

Pengurus Pusat Pemuliharaan Penyu di Glory Beach Resort, Hishamudin Abd Manap berkata kali ini terdapat 159 biji telur dijumpai tertanam dalam pasir di Pantai Tanjung Gemok.

“Saya mendapat tahu adanya penyu bertelur awal pagi tadi sekitar jam 1.30 pagi selepas membuat rondaan di sekitar pantai ini selepas mengesan tanda-tanda terdapat penyu bertelur di kawasan ini,” ujarnya.

Semua telur penyu itu dipercayai daripada jenis Karah dan akan dialihkan ke lokasi disediakan pihak hotel agar ia lebih selamat daripada musuh seperti burung.

Hishamudin yang dikenali sebagai ‘Renjer Penyu’ berkata kawasan pantai ini adalah pantai ketiga yang dipantau dalam tempoh dua minggu ini susulan musim penyu bertelur tahun ini antara bulan April hingga November.

“Saya menggunakan kaedah tradisional dengan mencucuk kayu di atas permukaan pasir pantai, sebelum berjaya mengesan kedudukan telur penyu itu,” katanya.

Jelas Hishamudin, telur ini dipercayai berada di situ antara 10 hingga 15 hari lalu berdasarkan keadaannya yang masih lembut.

Hadir sama ke lokasi berkenaan, Pengarah Urusan Glory Beach Resort, Paul Yeong dan Penolong Pengurus Besar, John Yeong yang juga anaknya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini