comscore
Tumpuan :
Nasional

LRA Linggi kembali beroperasi, dalang pelepasan cecair seakan minyak dikenal pasti – MB

LRA Linggi. Gambar fail.

SEREMBAN: Loji Rawatan Air (LRA) Linggi telah kembali beroperasi sekitar jam 1.30 tengah hari tadi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Datuk Seri Aminuddin Harun berkata dalang yang menyebabkan LRA Linggi terpaksa menghentikan operasi juga telah dikenal pasti.

Menurut Aminuddin yang juga Pengerusi Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) proses persampelan air telah dibuat oleh agensi kerajaan yang berkaitan bagi tujuan siasatan dan tindakan perundangan.

“Kes ini sedang dalam siasatan oleh agensi kerajaan terbabit di bawah kesalahan pencemaran sumber air,” katanya.

Terdahulu, Aminuddin mendedahkan pencemaran itu dipercayai berpunca dari sebuah premis bengkel lori yang melepaskan cecair minyak itu ke dalam Sungai Linggi.

Ia dikesan hasil operasi bersama di antara Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan.

Jelasnya, BKSANS menerima aduan berkenaan pencemaran air seakan minyak yang memasuki Sungai Linggi di sekitar kawasan Jalan Pantai, Seremban pada jam 7.30 malam Sabtu lalu.

Ia kemudian disahkan menerusi ujian bau yang mencatatkan rekod 11 ton pada jam 9.20 pagi dan rekod bacaan tertinggi mencecah 21 ton pada jam 10.30 pagi, semalam.

“Namun begitu, bacaan kadar bau semakin menurun dan pada jam 4.30 pagi hari ini (6 Mei 2024) dan kemudian bacaan ton menurun kepada dua ton,” katanya.

SAINS menganggarkan seramai 37,000 pengguna di Port Dickson dan sebahagian pengguna di daerah ini terkesan dengan gangguan bekalan air selepas LRA Linggi menghentikan operasi.

Bagi meredakan masalah pengguna terbabit, SAINS menggunakan lori tangki bagi menghantar bekalan air ke kawasan terjejas dan turut meletakkan 12 tangki statik di beberapa lokasi utama yang dikenal pasti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini