comscore
Tumpuan :
Nasional

Majalah 3 dalami kesengsaraan mangsa perang di Gaza

Enam bulan selepas konflik perang Israel-Palestin yang bermula 7 Oktober tahun lepas menyebabkan rakyat Gaza kini berada di ambang maut dan kedaifan.

Bersandarkan naluri kemanusiaan dan empati, ramai pihak cuba menghantar bantuan dengan pelbagai cara termasuk MERCY Malaysia.

MERCY Malaysia telah berjaya menghantar pakar perubatannya ke Hospital Pakar Al-Kuwait, Rafah, Gaza untuk membantu mangsa-mangsa perang.

Kru Majalah 3 berkesempatan berjumpa mereka di Kaherah, Mesir bagi berkongsi pengalaman berharga itu, antaranya merawat mangsa bedilan bom Israel dan merasai kesengsaraan rakyat Gaza yang tidak mempunyai makanan dan bekalan air.

Selain itu, kru Majalah 3 juga telah dibawa MERCY Malaysia bersama duta kemanusiaannya Datuk M. Nasir ke Palestine Hospital dan melawat gudang penyimpanan bantuan.

Penerbit Kanan Majalah 3, Christine Lee Mei Chin berkata, antara pengalaman tidak boleh dilupakan sepanjang liputan adalah bertemu dengan mangsa perang di hospital berkenaan.

“Bak kata Datuk M. Nasir yang turut serta melawat mangsa-mangsa perang di Palestine Hospital, Kaherah, Mesir, mereka kelihatan biasa, tetapi mungkin dalamannya penuh dengan kesengsaraan,” katanya.

Tambahnya, cabaran terbesar bagi proses liputan kali ini adalah mendapatkan kelulusan untuk ke sempadan Mesir dan Gaza.

“Asalnya niat kami adalah sekurang-kurangnya dapat ke Al-Arish iaitu sempadan di Mesir yang dekat dengan Rafah, Gaza untuk membuat tinjauan lebih dekat, tetapi proses kelulusannya rumit,” katanya.

Kru Majalah 3 turut disertai jurukamera, Mohd Rafi Kassem dan juruteknik, Aidil Adha Haris.

Tujuan liputan khas Misi Kemanusiaan Palestin ini adalah bagi memberi semangat kepada orang ramai untuk terus menyalurkan dana dan bantuan lain kepada bumi Gaza melalui MERCY Malaysia atau NGO lain.

Saksikan Majalah 3 ‘Misi Kemanusiaan Palestin’ pada jam 9 malam, Isnin, 8 April 2024 di TV3.

Langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh Majalah 3 ‘Misi Kemanusiaan Palestin’ di Tonton.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini