comscore
Tumpuan :
Nasional

Masih belum boleh jual kupang – DOF

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan (DOF), Datuk Adnan Hussain

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PUTRAJAYA: Penternak-penternak kupang di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Melaka masih tidak dibenarkan untuk menjual atau memasarkan hidupan laut itu seperti yang diarahkan sebelum ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan (DOF), Datuk Adnan Hussain memberitahu, ia susulan analisis daripada dua makmal mendapati kandungan biotoksin dalam kupang masih tinggi dan belum selamat untuk dimakan.

“DOF mengambil sampel setiap minggu di kedua-dua perairan ini untuk memantau tahap biotoksin yang ada, sama ada dalam air atau pada kupang.

“Buat masa ini, daripada analisis yang dijalankan di makmal Pusat Biosekuriti Perikanan di Kuala Lumpur dan Makmal Institut Penyelidikan Perikanan di Batu Maung, Pulau Pinang, kedua-dua analisa kita, konsisten menyatakan bahawa kadar biotoksin masih lagi tinggi,”

Malah kata beliau, ujian makmal berkenaan turut mendapati sampel air dan kupang di perairan tersebut dicemari alga spesies yang berbahaya iaitu ‘Alexandrium’ yang berbahaya kepada manusia.

Beliau berkata menurut standard Codex Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar biotoksin selamat untuk manusia ialah tidak melebihi 800 per bilion (ppb).

Menurutnya, DOF menjangkakan situasi itu akan berlanjutan disebabkan faktor cuaca panas dan tiupan angin yang membawa alga berbahaya dari kawasan pantai ke kawasan ternakan.

“Kita nasihati nelayan dan penternak agar tidak mencuba atau melakukan penjualan kupang daripada sangkar ternakan mereka kerana ia merupakan satu perkara yang cukup berbahaya, yang mampu mendatangkan keracunan kepada pengguna yang sekiranya jika tidak dikawal dengan baik, dibawa ke hospital dengan segera, akan sebabkan kesan yang lebih bahaya.”

Adnan juga menasihati agar orang ramai tidak memakan kupang atau cengkerang yang tidak diketahui statusnya.

Mereka juga menjangkakan situasi ini akan mengambil sedikit masa untuk pulih, walaupun kebiasaannya ia hanya memakan masa selama sebulan.

“Tak banyak perkara yang boleh kita buat, kita hanya boleh pantau kehadiran ia saja, kerana buat masa ini tidak ada teknologi untuk meneutralkan perkara ini. Kita hanya boleh pantau biotoksin dan kehadiran alga-alga ini.”

Beliau turut memberitahu yang pihaknya sedang memantau rapi perkembangan sama di negeri Johor.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan memaklumkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang dan seorang mangsa keracunan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Port Dickson.

Susulan itu, DOF mengesahkan kupang di perairan Port Dickson tercemar dan tidak selamat untuk dimakan selepas analisis dijalankan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini