comscore
Tumpuan :
Nasional

Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia mula tugas 1 Mei

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) mula melaksanakan tugas bermula semalam (1 Mei).

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua agensi penguatkuasaan dan kementerian terlibat meletakkan pegawai di sempadan utama dan memulakan tugas segera.

“Undang-undang (penubuhan agensi ini) hanya akan dibentangkan di Parlimen pada Julai, jadi orang tanya bagaimana boleh laksanakan 1 Mei? Saya jawab punca kuasa pada pegawai-pegawai berkenaan maknanya dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atau Jabatan Imigresen (JIM) sebagai punca kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri (KDN) MADANI, di sini hari ini.

Jelasnya, MCBA adalah satu agensi yang boleh menyelaraskan dan memastikan pelaksanaan di pintu masuk serta sempadan negara berjalan baik, licin dan kelulusan kemasukan disegerakan selain kawalan keselamatan dijaga dan segala kebocoran serta penyeludupan dihentikan.

“Oleh demikian semua jabatan dan kementerian harus menerima arahan ini meletakkan pegawai-pegawai di sempadan utama sekarang dan melaksanakan tugas dengan Ketua Pengarah (MCBA) Datuk Seri Hazani Ghazali yang mempunyai tugas besar untuk jaga seluruh sempadan kita.

“Semua jabatan tanpa kecuali harus menerima arahan ini secara serius dan melaksanakannya sekarang. Ini tugas besar Hazani dan keluarga MCBA dan saya percaya mereka dapat melaksanakan tugas sebaiknya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pelaksanaan MCBA adalah langkah pertama untuk memastikan kawalan sempadan negara terjamin.

“Ini akan meningkat sistem penyampaian, menyelesai persoalan integriti, memudah perdagangan dan meningkat pendapatan negara,” katanya.

Terdahulu, Anwar dan Saifuddin menyaksikan penyerahan Dokumen Terma Rujukan MCBA sebagai Penyelaras Jabatan dan Agensi Rakan Strategik mengenai Kawalan dan Perlindungan Sempadan Negara dengan enam kementerian serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Melalui dokumen itu, MCBA akan menyelaras sebarang aktiviti operasi khas berkaitan dengan kawalan dan perlindungan sempadan negara yang melibatkan jabatan atau agensi rakan strategik selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini