comscore
Tumpuan :
Nasional

Menteri Besar Perlis selesai beri keterangan, dibenarkan pulang

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang dirakam percakapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dibenarkan pulang selepas tiga jam diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Perkara itu dimaklumkan Mohd Shukri dalam status terbaharunya di laman Facebook sebentar tadi.

“Alhamdulillah, selesai memberi keterangan. Penting untuk mencari dan dapatkan berita yang sahih. Jangan jadi penyebar kepada berita palsu. Seperti yang saya tegaskan, saya akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan. InsyaAllah. Terima kasih atas komen yang baik-baik, mendoakan urusan saya dipermudahkan. Semoga doa-doa yang baik ini juga berbalik kepada anda,” katanya dalam kenyataan ringkas itu.

Terdahulu,  Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan Mohd Shukri ditahan selepas dipanggil hadir ke Ibu Pejabat SPRM pagi tadi untuk dirakamkan percakapan.

Azam bagaimanapun berkata tindakan susulan bergantung kepada proses rakaman percakapan itu.

Sebelum ini SPRM dilapor sedang menyiasat seorang pemimpin di utara tanah air yang disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar berjumlah RM1 juta yang mana syarikat itu mempunyai kepentingan dengan anaknya.

Siasatan juga termasuk tindakan pemimpin itu melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengannya bagi beberapa projek pembekalan melibatkan peruntukan Adun bernilai kira-kira RM300 ribu.

Projek-projek tersebut juga dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin tersebut dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini