comscore
Tumpuan :
Nasional

Musim panas tambah rezeki dua sahabat pencuci telaga

BESUT: Dua sahabat tidak menyangka musim panas yang melanda negara ketika ini membuka pintu rezeki buat mereka.

Muhd Syafiq Isa, 32, dan Faizal Wan Hassan, 38, ketika ini tidak menang tangan memenuhi permintaan tinggi pelanggan yang mahukan khidmat mencuci telaga.

Jelas Muhd Syafiq sejak awal tahun ini lagi mereka sudah ramai pelanggan sekitar Besut di Terengganu, Pasir Puteh, Bachok serta Kota Bharu, Kelantan yang mahukan perkhidmatan mereka.

Katanya, dia bersama Faizal akan bergerak berdua untuk melakukan kerja-kerja mencuci telaga yang mengambil masa antara tiga hingga ke empat jam.

“Saya mengambil upah melakukan pelbagai kerja kampung dan kerja mencuci telaga antara bidang kerja saya.. kebetulan ketika remaja dulu pernah mengikut orang tua pergi mencuci telaga.

“Waktu musim panas serta kemarau, telaga akan kering disebabkan itu pemilik telaga akan meminta kami mencuci serta membuang sampah sarap, selut dan tanah tertimbus supaya mata air timbul seterusnya air telaga kembali ada,” katanya ketika ditemui di Kampung Kepala Gajah, Renek, di sini, hari ini.

Syafiq yang tinggal di Kampung Pachakan berkata, antara cabaran utama kerja mencuci telaga adalah risiko keselamatan serta keadaan telaga yang terlalu lama tidak digunakan.

“Kami akan gunakan pam untuk menyedut air sebelum masuk ke dalam lubang telaga untuk memulakan kerja menggali telaga sekiranya air masih banyak dalam telaga.

“Teknik yang sesuai juga perlu digunakan untuk mengelakkan berlaku masalah disebabkan tanah yang digali tidak rata hingga menjejaskan kedudukan kerek telaga,” katanya.

Katanya, setakat ini mereka berjaya mencuci lebih 50 telaga dan kadar upah untuk kerja-kerja mencuci telaga dilakukan secara borong tidak mengikut jam bergantung kepada keadaan kerja kadang kala boleh mencecah RM400.

Sementara itu, Faizal berkata, sejak Aidilfitri lalu permintaan perkhidmatan mencuci telaga semakin bertambah berbanding kebiasaannya.

Salah seorang pemilik telaga, Adnan Hussin, 63, telaga miliknya sudah berusia 15 tahun dan sejak digali, ia tidak pernah dicuci.

“Disebabkan cuaca panas terik saya buat keputusan untuk panggil orang cuci telaga kerana sudah lama tidak digunakan serta mata air juga sudah terkambus.

“Walaupun menggunakan air jalan untuk keperluan seharian namun air telaga tetap dijadikan sebagai alternatif kerana rasa air telaga lebih sedap serta apabila mandi menggunakan air telaga lebih sejuk dan segar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini