comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas bas: Bas dipandu laju sebelum langgar pembahagi jalan dan terbalik – Mangsa

Kecederaan di tangan mangsa akibat terkena serpihan kaca bas yang pecah

Oleh: Fareez Azman

BENTONG: Seorang pelajar universiti swasta, Muhammad Rufiq Qayyin, 20, tidak menyangka, perjalanannya untuk bercuti raya pulang ke kampung halaman di Kuantan berakhir dengan tragedi, apabila bas dinaikinya terbalik di Kilometer 51.3 Lebuhraya KL-Karak pagi tadi.

Ketika menceritakan detik cemas itu, Muhammad Rufiq mendakwa menyedari bas persiaran berkenaan dipandu dengan laju sebelum nahas.

“Bas itu laju di sebelah laluan kanan, sebelum langgar pembahagi jalan dan badan bas tu berpusing sebelum terbalik,” jelasnya.

Dakwanya ketika kejadian keadaan jalan raya basah akibat hujan.

“Masa itu jalan basah, hujan. Bas tu (dipandu) belah kanan (laluan).

“Bila sampai selekoh itu saya rasa badan bas belah belakang dia macam bergerak sebelum terbalik,” katanya lagi.

Ketika kejadian jelasnya keadaan di dalam bas terbabit agak sunyi kerana rata-rata penumpang sedang tidur.

Namun keadaan itu berubah sekelip mata.

“Masa tu, kebanyakan penumpang tidur. Masa nahas tu saya tak tahu nak buat apa, sebab tempat duduk saya di bahagian tingkap, jadi saya redha je.

“Lepas kemalangan tu, saya nampak ada penumpang tak sedarkan diri, ada penumpang yang tolong penumpang lain yang tersepit dan himpit, ada penumpang yang jerit-jerit,” katanya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong tengah hari tadi.

Dia antara penumpang yang memberi keterangan kepada pihak polis berhubung kemalangan bas persiaran itu

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, dua penumpang masing-masing warga asing maut, manakala dua lagi mangsa termasuk pemandu bas berkenaan cedera parah

11 lagi mangsa cedera ringan dan semua mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal polis juga mendapati bas persiaran berkenaan berlepas dari Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Kuantan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini