comscore
Tumpuan :
Nasional

Nahas bas: Syarikat bas akan beri kenyataan selesai siasatan

KUALA LUMPUR: Syarikat bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 51.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, berhampiran Hentian Rehat Lentang, hari ini akan memberi kenyataan selepas siasatan selesai dijalankan oleh pihak berkuasa.

Buletin TV3 ketika cuba mendapatkan maklum balas mendapati sehingga kini pihak La Holidays masih menunggu siasatan dijalankan berikutan kejadian baharu sahaja berlaku.

“Kita akan beri maklum balas pada masa terdekat, kerana setakat ini kami difahamkan penumpang yang terlibat pun polis belum lepaskan lagi.

“Habis selesai polis buat kenyataan, kemudian baru kami akan keluarkan kenyataan,” katanya  ketika ditemui.

Dalam kejadian berkenaan seramai 16 mangsa terlibat dengan dua terbunuh manakala 14 penumpang cedera selepas bas persiaran itu dipercayai terbabas sebelum terbalik.

Menurut kakitangan syarikat itu, yang enggan dikenali berkata, dia juga masih terkejut dengan insiden yang berlaku kerana pemandu berkenaan seorang yang cekap dengan laluan berkenaan.

“Saya sendiri pun tidak menyangka, sebab semalam saya baharu sahaja duduk dengan mangsa (pemandu) jadi saya masih terkejut.

“Dia tidak mengantuk, dia yang incharge (menjaga) laluan itu, saya pun pelik macam mana boleh jadi,” katanya ketika ditemui.

Bas yang membawa penumpang dari Kuala Lumpur ke Kuantan itu difahamkan bergerak dari ibu negara pada jam 7.00 pagi tadi sebelum terbabas di laluan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini