comscore
Tumpuan :
Nasional

Operasi LRT laluan Kelana Jaya kembali normal pagi ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi secara normal mulai jam 6 pagi ini selepas mengalami gangguan bekalan kuasa, petang semalam.

Rapid Rail dalam kenyataan malam tadi, memaklumkan jadual perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan beroperasi dengan kekerapan tren antara tiga minit pada waktu puncak dan tujuh minit bagi waktu luar puncak.

“Namun, beberapa fasiliti seperti eskalator dan lif di stesen LRT Kelana Jaya, Taman Bahagia dan Asia Jaya masih belum berfungsi lagi.

“Kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan. Bagi penumpang yang memerlukan bantuan khusus, sila berhubung dengan petugas stesen dan anggota polis bantuan,” katanya.

Pihak Rapid Rail turut memohon maaf kepada penumpang atas kelewatan dan kesulitan dialami.

“Untuk sebarang pertanyaan, pengguna boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di talian 03-7885 2585 atau berhubung menerusi platform media sosial Rapid KL,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi dengan bilangan tren terhad akibat kegagalan sistem bekalan kuasa yang disambar petir.

Pihak Rapid Rail memaklumkan, kejadian yang dilaporkan berlaku jam 3.30 petang itu mengakibatkan tren tambahan dari Depoh LRT Subang tidak dapat digerakkan untuk kegunaan operasi waktu puncak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini