comscore
Tumpuan :
Nasional

Pandai bermain sepak takraw walaupun cacat kaki

Muhammad Fikri Che Mood yang cacat kedua belah kaki menggunakan kedua belah tangannya ketika bermain sepak takraw.- Foto: NSTP

KOTA BHARU: Kekurangan fizikal yang dimiliki Muhammad Fikri Che Mood tidak mematahkan semangatnya untuk beraksi dalam sukan kegemarannya iaitu sepak takraw.

Meskipun sukan itu memerlukan pergerakan dan kekuatan fizikal yang tinggi, Muhammad Fikri, 27, yang cacat kedua belah kaki, lincah beraksi sebagai tekong walau hanya menggunakan kedua belah tangannya.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata meskipun dia bergelar orang kurang upaya (OKU) sejak lahir, keadaan itu tidak menghalangnya daripada menjalani hidup seperti orang normal.

“Saya sangat meminati sukan sepak takraw kerana sejak kecil lagi sering mengikuti abang menjalani latihan dan ketika di Tahun Enam, saya mula aktif bermain sepak takraw,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Fikri, dia pernah memasang impian untuk memasuki sekolah sukan tapi mengenangkan banyak kekangan, impian itu terpaksa dilupakannya.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli (kemeja batik) berbual dengan Muhammad Fikri Che Mood dalam sambutan Aidilfitri anjuran Petronas di sebuah hotel di Kota Bharu.-Foto: NSTP

Impian Muhammad Fikri bagaimanapun direalisasikan pihak Petronas yang membawanya ke Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 12 Mac lalu sempena Ulangtahun Petronas yang ke-50.

Selama lima hari berada di sekolah berkenaan, Muhammad Fikri dapat merasai pengalaman menjalani latihan sepak takraw bersama pelajar lain serta dibawa melawat ke hampir keseluruhan prasarana yang ada di sekolah itu.

Muhammad Fikri berkata walaupun cita-citanya untuk bergelar pelajar di sekolah sukan tidak tercapai, dibawa menjelajah hampir keseluruhan kawasan Sekolah Sukan Bukit Jalil pun sudah memadai.

“Rasa seronok kerana dapat berangan menjadi pelajar di sana walau hanya lima hari tapi pengalaman itu sekurang-kurangnya dapat mengubati kekecewaan saya selama ini,” katanya yang ditemui di majlis Aidilfitri Petronas, di sini.

Jelasnya, untuk menjaga kesihatan serta minat yang masih tinggi dalam sukan sepak takraw, dia aktif bermain sepak takraw di kampung.

 Pemuda OKU fizikal, Muhammad Fikri Che Mood dibawa ke Sekolah Sukan Bukit Jalil selama lima hari bermula 12 Mac lalu oleh Petronas bagi memberi pengalaman menjalani latihan sepak takraw. Foto ihsan Petronas.

Muhammad Fikri yang masih bujang menetap di Selising, Pasir Puteh, dekat sini bersama dua abangnya.

Untuk menyara hidup, dia bekerja sebagai tukang gunting rambut di satu sudut khas di rumah mereka.

Hampir 10 tahun bergelar tukang gunting, Muhammad Fikri memberi khidmat kepada pelanggan di sekitar Selising dan luar Pasir Puteh.

Muhammad Fikri mengakui ada pelanggan yang masih ragu-ragu dengan kebolehannya tetapi bertukar menjadi kagum sebaik melihat dia menggunting rambut.

“Bagi saya, selagi masih mampu bergerak dan bekerja, selagi itulah saya akan terus berusaha dan jangan jadikan kekurangan diri sebagai halangan,” katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini