comscore
Tumpuan :
Nasional

Pekerja bengkel maut, rakan parah, tayar jentolak meletup

Foto hiasan

SUNGAI BULOH: Seorang pekerja bengkel maut selepas tayar jentolak yang sedang diisi angin di sebuah pusat servis tayar di Bandar Baru Sungai Buloh dekat sini, tiba-tiba meletup, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor memaklumkan seorang lagi mangsa parah.

Katanya dalam kejadian jam 12.40 tengah hari, kedua-dua mangsa lelaki tempatan berusia 19 dan 21 tahun sedang mengisi angin ke dalam tayar jentolak itu.

“Ketika mangsa sedang mengisi angin tayar jentolak tiba-tiba ia meletup dan terkena kedua-dua mangsa.

“Mangsa berusia 19 tahun maut di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang parah dibawa ke Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular di media sosial sejak semalam, gambar memaparkan dua lelaki dipercayai mangsa berkenaan terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan cedera di kepala.

Gambar itu disertakan dengan pesanan suara seorang lelaki mendakwa kejadian itu berlaku di sebuah bengkel di sekitar Kajang.

Sehubungan itu Mohd Hafiz menasihatkan orang awam supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan gambar berkenaan.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini