comscore
Tumpuan :
Nasional

Pelajar maut selepas rebah ketika rentas desa

Ibu Allahyarham tidak dapat menahan sebak ketika menunggu jenazah anaknya Nuqman Naufal Shamsul Fadzli di Unit Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Seremban.-Foto: NSTP

KUALA PILAH: Pelajar sekolah menengah dekat Jalan Kampung Gentam, Taman Fatimah, di sini meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti rentas desa, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, pelajar terbabit, Nuqman Naufal Shamsul, 14, sempat dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan, namun disahkan maut kira-kira dua jam kemudian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata remaja berkenaan menyertai sukan anjuran sekolah itu bersama kira-kira 700 pelajar lain kira-kira jam 8 pagi.

“Guru yang ada di lokasi dikatakan memberikan bantuan pernafasan tetapi remaja itu tiada tindak balas. Kemudian pihak sekolah menghubungi talian 999,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ibu Allahyarham tidak dapat menahan sebak ketika menunggu jenazah anaknya Nuqman Naufal Shamsul Fadzli di Unit Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Seremban. -Foto: NSTP

Katanya, kejadian berlaku pada kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa hampir tiba ke garisan penamat.

Mangsa dikatakan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Mengikut laporan, larian itu membabitkan jarak sejauh 7 kilometer (KM).

Mangsa yang diberikan bantuan awal di tempat kejadian kemudian dibawa Unit Kecemasan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini.

“Ambulans tiba di Unit Kecemasan HTAN kira-kira jam 10.15 pagi. Selepas hampir sejam memberikan bantuan, akhirnya remaja itu disahkan meninggal dunia,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan keterangan bapa pelajar, remaja itu disahkan menghidap penyakit jantung berlubang pada 2016 dan masih dibekalkan ubat daripada Institut Jantung Negara (IJN).

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Siasatan lanjut masih dijalankan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini