comscore
Tumpuan :
Nasional

Penantian lebih 40 tahun miliki geran tanah sendiri berakhir

Abdullah Jusoh (kiri) dan Abdullah Taib (kanan) menunjukkan geran tanah milik mereka pada Majlis Penyerahan Hakmilik Tanah Jajahan Gua Musang, di Gua Musang hari ini. – FOTO: NSTP

GUA MUSANG: Penantian lebih 40 tahun dua sepupu untuk memiliki geran tanah sendiri di Felda Chiku 3, di sini, berakhir apabila menerima geran fizikal daripada pihak Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, di sini hari ini.

Abdullah Jusoh, 68, dan Abdullah Taib, 73, yang mula menjadi peneroka sejak lebih 40 tahun lalu bersyukur apabila hasrat mereka sejak sekian lama akhirnya tercapai.

Menurut Abdullah Jusoh tiada kata yang dapat diungkapkan selain rasa syukur dan gembira dengan pemberian geran ini yang menandakan usaha mereka sebagai peneroka akhirnya diiktiraf.

“Alhamdulillah. Perasan saya hari ini bercampur baur sedih, terharu dan gembira dengan pemberian geran tanah ini yang akan menjadi milik kekal kami dan akan menjadi harta yang akan diwarisi oleh anak-anak nanti,” ujar Abdullah Jusoh.

Menurut Abdullah Jusoh, dia mula sampai  di Felda ini ketika berumur 27 tahun bersama isteri dan dua orang anak.

Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin (tengah) menyampaikan geran tanah kepada penerima pada Majlis Penyerahan Hakmilik Tanah Jajahan Gua Musang, di Gua Musang hari ini. – FOTO: NSTP

Kini, anak-anaknya sudah berjumlah tujuh orang dan dengan pendapatan sebagai penerokalah dia membesarkan anak-anaknya.

Abdullah Jusoh ditemui pada Majlis Penyerahan Hakmilik Tanah Jajahan Gua Musang di sini hari ini.

Majlis penyampaian itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Dewan Semai Bakti, Felda Chiku 3 kepada 254 penerima.

Manakala bagi Abdullah Taib, dia bersyukur apabila menerima geran hak milik tanah itu sebelum dia menutup mata.

“Hari ini saya menerima geran hak milik sebanyak 4.047 hektar tanah kebun dan rumah di Felda Chiku 3.”

“Alhamdulillah sebelum menutup mata saya direzekikan untuk melihat dan mendapat geran hak milik ini yang saya usahakan sejak 40 tahun lalu dengan hasil titik peluh sendiri. Terima kasih kepada pihak Felda dan Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang yang merealisasikan impian kami sebagai peneroka di sini,” katanya.

Sementara itu Ketua Jajahan Gua Musang, Nik Raisnan Daud berkata dia berharap geran hak milik itu tidak digunakan dengan sewenangnya untuk meraih keuntungan.

“Nasihat saya kepada pemilik geran ini supaya tidak menjual atau memajakkan tanah mereka pada mana-mana pihak. Simpan sebaiknya geran ini kerana ini adalah hasil titik peluh mereka selama lebih 40 tahun menjadi peneroka,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini