comscore
Tumpuan :
Nasional

Penerbangan Medevac JBPM bantu hantar bayi Orang Asli ke hospital

Unit Udara JBPM melakukan penerbangan Medevac membawa seorang bayi lelaki Orang Asli ke Hospital Gua Musang.

GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan Medevac (Medical Evacuation) untuk membawa seorang bayi lelaki Orang Asli yang mengalami masalah paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen dari Pos Balar ke hospital, di sini, semalam.

Pesakit, Rafifarizi Amin berusia setahun diiringi ibunya Tini Alang, 34, dibawa menaiki pesawat Mi-17-IV untuk dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) bagi menerima rawatan susulan.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Mohd Rizzan Jefri berkata, sebelum mengambil pesakit di Pos Balar, pesawat terlebih dahulu singgah di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang untuk mengambil dua jururawat.

“Pesakit memerlukan bantuan oksigen untuk dibawa menaiki pesawat, jadi kru terlebih dahulu singgah di BBP Gua Musang untuk mengambil jururawat.

“Difahamkan pesakit mengalami masalah paru-paru, batuk dan selsema sudah dua hari.

“Pesawat berlepas dari Pengkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor pada jam 12.03 tengah hari dan tiba di BBP Gua Musang pada 1.15 petang.

“Selepas mengambil pesakit, pesawat berlepas daripada Pos Balar 1.35 petang dan tiba di BBP Gua Musang 1.44 petang. Pesakit diserahkan kepada kakitangan kesihatan yang sudah menanti bersama ambulans,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi terbabit diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Azuna Mohamed Sabri dan dibantu oleh pembantu juruterbang Sarifudin Ladudu bersama tujuh lagi kru.

“Alhamdulillah pesawat berjaya mendarat dengan selamat di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor pada 6.02 petang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini