comscore
Tumpuan :
Nasional

Peniaga direman, perdaya remaja dengan tawaran kerja sebelum merogol mangsa 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis menahan reman seorang peniaga enam hari hingga Selasa depan kerana disyaki merogol seorang remaja perempuan selepas menawarkan pekerjaan kepada mangsa, di sebuah hotel di Taman Dagang, Ampang Jaya, Selasa lalu.

Mangsa yang berusia 17 tahun masih trauma dengan kejadian itu kemudian tampil membuat laporan polis.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare, berdasarkan laporan polis,  mangsa mendakwa suspek menariknya secara paksa untuk masuk ke hotel berkenaan kira-kira jam 2 pagi sebelum dirogol dua kali oleh lelaki terbabit di lokasi sama.

“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dijanjikan pekerjaan oleh suspek dan diajak berjumpa dengan majikan.

“Namun, suspek didakwa telah merogol remaja itu tanpa kerelaan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya berjaya menahan suspek lelaki tempatan berusia 36 tahun yang bekerja sebagai peniaga, di Hulu Langat pada 17 April lalu.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya sambil memaklumkan lelaki itu direman bermula Khamis lalu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat, jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini