comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyelia maut terjatuh dari atas kren setinggi 20 meter

Foto hiasan

BUTTERWORTH: Seorang penyelia sebuah kilang pembuatan, di sini maut selepas terjatuh dari ketinggian melebihi 20 meter (m) ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di atas sebuah kren di tempatnya bekerja semalam.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihak mereka ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai insiden kemalangan terbabit.

“Apabila tiba didapati mangsa seorang warga tempatan berusia 51 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah dialaminya.

“Daripada siasatan awal yang dijalankan, mendapati mangsa bekerja sebagai penyelia bagi kerja-kerja penyelenggaraan ‘ladle crane’ (kren senduk) di kilang terbabit.

“Semasa kejadian, mangsa dikatakan sedang menyelia kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan oleh pekerja di kilang itu, namun berlaku insiden tidak diingini apabila mangsa terjatuh dari ketinggian melebihi 20m,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, susulan kematian mangsa satu notis  pemberhentian serta merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian kilang terbabit telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Pihak jabatan juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan melakukan langkah penambahbaikan termasuk membuat pembentangan kes kepada JKKP.

“Dalam pada itu, kita (JKKP) turut akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenalpasti dan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

“Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya.

Tegasnya, majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

“Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.

“Jabatan memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor dan sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini