comscore
Tumpuan :
Nasional

Perlu ada penilaian berterusan, keberkesanan Pelan Tindakan Memartabatkan BM di IPTA – Awang Sariyan

Senator Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang  Sariyan menyampaikan Syarahan Umum Rashdan Baba Siri ke-4, bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi dalam Agenda Kepemimpinan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT)” di Dewan Taklimat Bangunan Canselori Universiti Putra Malaysia.- Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) disaran melakukan penilaian secara berjadual bagi meneliti perkembangan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) 2023-2030 yang bermatlamat memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat universiti awam di negara ini.

Pada masa sama, kementerian itu turut digesa supaya melakukan pemantauan mengenai tahap kepatuhan universiti pengajian tinggi swasta (IPTS) yang diwajibkan mengajar tiga subjek dalam bahasa Melayu.

Ahli Dewan Negara, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata tanpa pelaporan terperinci mengenai pelan tindakan itu, sukar untuk mengenal pasti tahap penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu, khususnya di universiti awam di negara ini, termasuk melakukan penambahbaikan dari masa ke masa.

“KPT perlu laksanakan penilaian berjadual, sama ada dalam bentuk tahunan atau penilaian separuh penggal bagi Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di IPTA 2023-2030 untuk mengenal pasti bagaimana (pelan ini) dijalankan di IPTA dan IPTS.”

“Sebagai contoh, dalam Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 meletakkan tiga subjek yang wajib diajarkan (dalam bahasa Melayu) iaitu mata pelajaran Bahasa Melayu, Agama Islam atau Pendidikan Moral dan ketiga, Kenegaraan Malaysia.”

Bagaimanapun, dalam satu persidangan yang pernah saya hadiri dahulu, turut dihadiri pengarah 600 IPTS, (ada di antara) mereka mengatakan tidak ada masa untuk mengajar tiga subjek ini.”

“Sedangkan ia termaktub dalam akta….kerana itu KPT mesti buat pemantauan (secara berterusan).”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Umum Rashdan Baba bertajuk Memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi dalam Agenda Kepemimpinan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia.

Hadir sama, Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof Dr Ismi Arif Ismail.

Beliau yang juga Profesor Pelawat di Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM turut menegaskan keperluan untuk menilai keberkesanan pelan tindakan itu penting memandangkan terdapat pelbagai kelompangan sama ada dalam urusan rasmi membabitkan pentadbiran universiti atau penggunaan bahasa Melayu dalam pengajian.

Orang ramai yang hadir syarahan Umum Rashdan Baba Siri ke-4 oleh Senator Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang  Sariyan bertajuk “Memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi dalam Agenda Kepemimpinan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT)” di Dewan Taklimat Bangunan Canselori Universiti Putra Malaysia.-Foto: NSTP

“Semasa saya di Dewan Bahasa dan Pustaka dulu (DBP) dahulu, sempat kami buat program Audit Bahasa di enam buah IPT, daripada situ didapati ada kelompangan yang perlu disedari pimpinan universiti dan KPT sendiri bagi memasyarakatkan penggunaan bahasa kebangsaan dan memastikan kadar peratusannya adalah jauh lebih tinggi.”

“Saya tak nafikan ada keperluan untuk pengajian (subjek atau bidang tertentu) dalam bahasa asing, apatah lagi dalam bidang teknikal. Namun, kita perlu usahakan supaya peratusannya meningkat, jika penggunaan bahasa Melayu di IPT capai tahap 70 peratus pun sudah cukup baik.”

Sehubungan itu, katanya, perlu ada rangka tindakan secara berterusan bagi memastikan pelan dilaksanakan KPT itu tidak dilihat sebagai gagal, dan akhirnya akan memberikan cerminan buruk kepada kerajaan.

Dalam pada itu, mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP itu turut menyarankan supaya semua IPT merancakkan penerbitan karya ilmiah dalam bahasa Melayu secara terancang.

“Dalam hal ini, kita mungkin berdepan kekangan dari segi dana. Namun, pada saya, kerajaan wajar menyediakan peruntukan bagi penyelidikan, penulisan, terjemahan dan penerbitan terutama bagi terbitan dalam bahasa Melayu di IPT.”

“Ia boleh disalurkan sama ada melalui dana daripada KPT mahupun dana dalaman IPT.”

“Saya juga pernah usulkan kepada KPT supaya mewujudkan Universiti Pengajian Asing seperti dilaksanakan China. Misalnya di Beijing Foreign Studies University (BFSU), ada 120 bahasa asing yang diajar, setakat 2020.”

Katanya, China mempunyai perancangan dari masa ke masa dan itu menjadi asas kekuatannya untuk menguasai ekonomi melalui inisiatif ‘Belt and Road’ melalui kekuatan bahasa Cina dan penguasaan tamadun lain.

“IPTA kita memang sudah memulakan pengajaran bahasa utama dunia, namun saya yakin ia masih boleh ditingkat dan diperluas kerana mampu memberi keuntungan kepada negara bagi jangka masa panjang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini